Tuesday, 24 July 2018

Musim Buah Perah Jadi Pesta Penduduk Kampung Pauh

SHARE
Rohana(kanan)bersama rakannya Rosmaria menunjukkan buah perah yang berjaya dikutip di perkarangan tanah perkuburan Kampung Pauh.


Sesiapa sahaja yang pernah menikmati buah perah pasti terbayang keenakan isinya sama ada direbus, jeruk atau bakar yang mampu memikat hati penggemarnya.

Bagi penduduk Kampung Pauh, Hulu Terengganu, musim buah perah merupakan satu pesta untuk mereka berkumpul bersama-sama dan mengutip buah luruh yang hanya muncul setahun sekali.

Seorang penduduk yang ditemui, Rohana Ahmad,57, berkata nostalgia mengutip buah perah sewaktu kecil sentiasa menggamit dirinya dan kini aktiviti berkenaan masih diteruskan walaupun sudah berusia apabila tiba musimnya.

"Seronok bila dapat bersama orang ramai, berlumba mengutip buah perah setiap kali buahnya meletup dan luruh dengan suasana yang kecoh tetapi akrab.

"Saya kutip buah ini secara suka-suka dan kadang-kadang kami makan dengan cara bakar menggunakan arang, rasanya lebih enak dimakan begitu ,"katanya lagi ketika ditemui di perkarangan Tanah Perkuburan Kampung Pauh.

Buah Perah


Rohana berkata, terdapat lebih sepuluh batang pokok perah di Tanah Perkuburan tersebut yang dianggarkan berusia hampir 100 tahun dan sentiasa berbuah lebat malah menjadi salah satu punca rezeki kepada penduduk tempatan sebagai barang jualan.

"Buah perah dijual RM5 bagi seratus biji dan ada yang menjualnya mengikut timbangan kilo, terpulang kepada masing-masing tentang cara jualannya," katanya.

Tambahnya, terdapat kepercayaan yang menyatakan bahawa buah perah perlukan kemahiran untuk memasaknya dan bergantung kepada kemahiran.

"Buah perah memang memabukkan jika dimakan mentah-mentah kerana getahnya boleh memberi kesan sampingan namun bergantung juga kepada ketahanan badan si pemakan.

"Sebab itu, kita gunakan pelbagai cara untuk prosesnya sebelum dimakan seperti merebus, jeruk bersama petai atau bakar dan rasanya memang enak, lemak manis seolah-olah memakan kacang.

Menurutnya, pokok perah mengeluarkan buahnya semusim dengan pokok durian dan penduduk menyifatkannya sebagai kembar durian kerana berbuah hampir serentak.

Buah ini akan gugur sendiri ke bumi apabila 'letupan' buahnya yang matang ataupun sudah cukup tua berlaku dalam cuaca panas dan terdapat antara dua hingga tiga biji dalam satu kulit.

Sementara itu,  bagi Rosmaria Ibrahim, 38, berasal dari Kelantan pula hanya mengenali buah perah selepas mengikuti suaminya Junaidi Mohd Adnan berpindah ke kampung setelah berkahwin.

"Pada mulanya saya tak kenal apa itu buah perah sehinggalah melihat orang ramai berpusu ke sini untuk mengutip buah yang luruh.

"Rasa teruja tengok dan saya pun menyertai mereka sambil belajar makan buah perah, dari situ saya mula menggemarinya malah menjadikan sumber rezeki apabila tiba musimnya berbuah,"katanya.

Menurut Rosmaria lagi, setiap hari dia berjaya mengutip antara 150 hingga 250 biji buah perah dan ia bergantung kepada nasib dan cuaca.

"Saya jual kepada pembeli dengan harga RM5 seratus biji dan permintaan agak tinggi hingga ada masanya saya tak mampu untuk menyediakannya,"ujarnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: