Tuesday, 24 July 2018

Kesedihan Ibu Insafkan Penagih Tegar

SHARE
Nor Amirul Aswad


Linangan air mata seorang ibu berjaya melembutkan hati seorang penagih dadah tegar untuk kembali ke pangkal jalan setelah bergelumang dengan najis tersebut lebih 10 tahun.

Nor Amirul Aswad Zakaria, 28, yang berasal dari Kemaman berkata kesedaran datang dengan tiba-tiba untuk keluar dari dunia hitam itu setelah ibunya menangis melihat dia dipenjarakan pada 2016.

"Saya mahu melakukan penghijrahan ini untuk diri sendiri dan membuat ibu saya gembira sekali lagi  bagi memastikan dia tidak akan menangis lagi kerana saya,"katanya.

Anak kepada imam dan seorang guru tadika itu berkata,  dia memulakan tabiat buruk itu sebagai cara untuk menyesuaikan diri dengan kawan-kawan di sekolah menengah dan kawan melepak yang jauh lebih lebih baik dari segi kewangan.

"Hidup saya tak mampu tapi keinginan untuk hidup bergaya dan mewah begitu meruap dan pada umur 16 tahun saya mula terjebak dengan urusan dadah kecil-kecilan untuk cepat kaya dan penyalahgunaan dadah kategori 'hardcore' tidak lama selepas itu.

"Saya mendapat lingkungan RM12,000 sebulan dari hasil jualan dadah dan menghabiskan kebanyakan wang untuk membeli motosikal besar dan topi kerana saya peminar tegar motor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Madrasah Khairul Insan, Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.

Nor Amirul berkata, kesedaran untuk berhenti menagih terbuka apabila timbul rasa berdosa kepada diri sendiri tetapi dalam masa yang sama masih meneruskan urusniaga  jual beli dadah.

"Tak lama selepas berhenti menagih, saya terjebak pula dengan arak dan menjadi pemabuk selama empat tahun. Pada 2016, saat dipenjarakan atas kesalahan dadah, ibu datang sambil menangis, saya memutuskan untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar.

"Saya cukup lemah sehingga saya memutuskan untuk datang ke sini setelah mendapat tahu kewujudannya melalui kawan-kawan di mana ia aman dan ada kumpulan sokongan yang hebat," katanya.

Beliau menambah, dalam komuniti itu, dia mula mengenali dirinya dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan solat, berpuasa, berzikir dan melakukan aktiviti kerohanian.

Katanya, kewajipan sedemikian dapat dilakukan dengan lebih mudah hasil sokongan masyarakat terutama ibu bapanya yang masih menerimanya dengan baik.

Apabila ditanya sama ada beliau pulih sepenuhnya selepas dua tahun berada bersama komuniti berkenaan, Nor Amirul berkata ia tetap akan diteruskan sehingga nafas terakhirnya.

"Saya akan terus bekerja untuk diri saya, masa depan saya dan jika saya meninggal..saya ingin dikebumikan di sini juga," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: