Sunday, 29 July 2018

Jabatan Mufti Bawa Masyarakat Teropong Gerhana Bulan

SHARE
Pegawai Jabatan Mufti memberikan penerangan kepada pelajar yang hadir.

Jabatan Mufti Negeri Terengganu menganjurkan program Jom Tengok Gerhana Bulan Penuh di Masjid Kampung Padang Mengkuang, Binjai Rendah, Marang bermula jam 1 hingga jam 6.45 pagi tadi.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti solat sunat gerhana, Qiamulail dan teropong bulan menggunakan teleskop.

Mufti Terengganu, Dato' Dr. Zulkifly Muda berkata, penting untuk masyarakat menyaksikan keajaiban alam yang berlaku termasuk gerhana bulan.

"Sebahagian orang mungkin anggap perkara biasa, tetapi kita disaran untuk menyaksikan sendiri kebesaran Allah SWT melalui kejadian-kejadian ini. Kita juga diperintahkan solat untuk merasai kehebatan Allah SWT," katanya.

Solat sunat gerhana diimamkan Mufti.

Beliau memaklumkan, jabatan mufti sering mengadakan program seperti itu untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapat pendedahan dan pengetahuan mengenau kejadian alam.

"Masyarakat juga berpeluang melihat proses gerhana dengan lebih jelas menggunakan peralatan yang kami bawa hari ini," katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan yang diberi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan ADUN Pengakalan Berangan turut hadir menyampaikan slot tazkirah kepada jemaah.

Program tersebut menyaksikan kehadiran lebih 300 ahli qariah dan pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin, Kolej Al-Quran Terengganu, SMA Khairiah, dan SM Sains Hulu Terengganu.

Gerhana Bulan Penuh yang berlaku malam tadi adalah gerhana paling panjang di abad ke-21 di mana fasa gerhana berlaku selama 1 jam 43 minit.

Pegawai masjid bergambar bersama pemimpin tempatan dan mufti.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: