Wednesday, 25 July 2018

IPD Kemaman Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir

SHARE

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir yang kebiasaan melanda daerah itu pada bulan November dan Disember setiap tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, persiapan yang dilakukan kini sudah 100 peratus daripada segala aspek termasuk dari segi latihan, keanggotaan dan kekuatan aset.

"Kita buat persediaan awal dan setakat ini kita sudah berada dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi bencana banjir setiap tahun di daerah ini.

"Kita akan menggerakkan jentera penyelamat bersama Pejabat Daerah Kemaman dan kita harapkan dapat lakukan yang terbaik dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir nanti," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulanan dan menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) Peringkat IPD Kemaman di pekarangan IPD Kemaman, hari ini.

Sementara itu, Mohd Said berkata, IPD Kemaman juga melakar kejayaan membanggakan sepanjang enam bulan pertama tahun ini apabila berjaya menurunkan sebanyak 37 kes berbanding tempoh tahun lalu.

“Kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun lalu adalah sebanyak 138 kes berbanding 173 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Penurunan kes ini berkat kerjasama antara masyarakat dan juga pihak polis dan kita harapkan kerjasama ini semakin erat lagi pada masa akan datang," katanya.

Tumpuan khusus diberikan kepada polis dalam membendung kes pecah rumah dan curi motosikal yang menyumbang kepada indeks jenayah daerah.

Menurut Mohd Said, beliau berharap masyarakat memberikan kerjasama dalam memastikan keselamatan motosikal dengan mengunci motosikal masing-masing.

"Untuk mencegah kes pecah rumah pula, pastikan rumah dikunci dengan baik dan pencahayaan juga baik bagi elakkan rumah terutama yang ditinggalkan dalam keadaan gelap.

“Selain itu, pemilik rumah juga perlu mempunyai hubungan yang baik dengan jiran-jiran agar kita dapat saling mengawasi rumah masing-masing," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: