Sunday, 29 July 2018

Berubah Kerana Allah S.W.T. - Bekas Mak Nyah

SHARE


“Bagi saya penghijrahan bermula dari dalaman dan bukannya daripada luaran, kerana ianya tidak akan kekal. Jadi kebanyakan kawan-kawan saya dia beranggapan bila kita nak berhijrah, kita kena berhijrah dari luaran, maksudnya potong rambut, buang baju-baju perempuan, tetapi bagi saya itu salah.

"Sebenarnya penghijrahan yang bagus, yang hebat yang betul-betul mantap, bila kita mengenali diri kita dan kita mengenali Allah S.W.T, kita mengenali Islam, dan di kala itulah kekuatan akidah Allah S.W.T akan campakkan,”  kata Mohd Khariri Mohamad Ramli.

Begitulah antara luahan hati seorang bekas `mak nyah' yang terjebak lebih kurang 15 tahun secara serius sebagai transgender, iaitu sejak usia 18 tahun dan berjaya bebas dari masalah berkenaan kira kira lapan tahun lalu.

Perubahan beliau bermula secara beransur-ansur dengan kembali mengerjakan perkara wajib dan solat-solat sunat seperti tahajud, taubat dan mengaji al-Quran bagi menguatkan lagi keazamannya untuk berubah.

Mohd Khariri yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja Uda, Kelang, itu juga berkata dengan mengamalkan semua perkara ini, beliau dapat merasakan ada kesan positif dikurniakan Allah kepada beliau seperti ketenangan yang belum pernah dirasai sebelum ini.

Dahulu, beliau juga sanggup mengambil hormon bagi menjadikan tubuh badannya lebih menarik sehingga pada satu masa, beliau sendiri  tidak nampak cara terbaik untuk berubah akibat tindakan itu.

Menurutnya, semua itu terdorong oleh nafsu yang tidak berjaya dikawal, sehinggakan segala amalan baik doa-doa yang pernah diamalkannya dahulu ditinggalkan dan menjadikan beliau lebih jauh terpesong dari jalan Allah S.W.T.

Bagaimanapun pada 2011, beliau berusaha keras mempersiapkan dalaman dirinya bagi melakukan satu perubahan besar dalam hidupnya iaitu kembali kepada kehidupan normal, sehingga berjaya.


Beliau ditemui dalam satu Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)), di Dewan Auditorium Jabatan hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Seminar selama sehari itu adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri melalui JHEAT yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mujahid Yusof  Rawa dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah.

Mohd Khariri itu juga meminta agar masyarakat sentiasa memberikan dorongan dan kasih sayang kepada mana-mana golongan maknyah yang ingin berubah kepada kebaikan.

“Bagi saya apa yang utamanya adalah golongan LGBT ini ataupun fenomena ini akan mencetuskan lebih banyak masalah sekiranya kita tidak menangani atau tidak membantu mereka dengan pendekatan yang lebih berhemah dan kasih sayang.

Sebab apa yang utamanya, bagi saya sebagai seorang yang telah berhijrah, sebagai seorang pendakwah bebas, saya amat intim dengan konsep kasih dan sayang dan saya juga berubah dengan penuh kasih dan sayang, saya juga berubah kerana Allah S.W.T.

“Kerana itu saya berjaya dalam pengekalan sebagai seorang lelaki, sebagai seorang muslim sehinggalah ke hari ini dan doakanlah semoga saya kekal berhijrah dan saya juga mengimpikan sebuah rumah tangga sebagaimana lelaki-lelaki di luar sana insyaAllah,” katanya lagi.

Kepada golongan maknyah yang ingin berubah juga beliau menasihatkan agar berubah kerana Allah S.W.T, bukan kerana populariti, dan terus memandang ke hadapan kerana jati diri yang kuat, perlu dalam perubahan ini.

Juga kepada golongan muda yang baru mahu berjinak jinak untuk menjadi maknyah beliau merayu agar tidak sekali-kali mencubanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: