Friday, 27 July 2018

79 Mat Rempit Subuh Secara Berjemaah

SHARE
Superitenden Mohd Said Ibrahim.

Seramai 79 Mat Rempit dibawa menunaikan solat Subuh secara berjemaah selepas ditahan kerana melakukan kesalahan berlumba haram dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan Daerah Kemaman, semalam.

Operasi bermula jam 11 malam dan berakhir pada jam 8 pagi tadi dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Mohd Said Ibrahim berkata, operasi diadakan hasil aduan orang ramai berkenaan kegiatan mat rempit yang menjadikan jalan raya sebagai litar untuk mereka melakukan aktiviti haram tersebut sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengguna jalan raya.

Menurutnya, seramai 41 orang anggota polis termasuk empat pegawai terlibat dalam operasi tersebut dengan menumpukan laluan sepanjang Jalan Chukai - Air Putih, lokasi utama golongan tersebut berlumba dan melakukan aksi merbahaya.

Mohd Said berkata, kesemua 79 pesalah yang ditahan terdiri dari pelajar Melayu dan pekerja swasta berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.

"Mereka yang kebanyakan terdiri daripada pelajar sekolah dan kolej menjadikan hari Khamis sebagai hari untuk berkumpul bersama rakan-rakan dan seterusnya melakukan aksi merbahaya di jalan raya sebelum berlumba," katanya.

Menurut beliau, antara kesalahan yang dilakukan ialah menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mempunyai lesen memandu yang sah, cukai jalan yang tamat tempoh, tiada cermin pandang belakang dan beberapa kesalahan lain lagi.

Mat rempit yang ditahan di bawa ke masjid untuk solat subuh berjemaah.
Mohd Said berkata, kesemua 79 Mat Rempit yang ditahan terlebih dahulu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk diambil keterangan sebelum kesemuanya dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah untuk solat  Subuh secara berjemaah dan membaca Surah Yasin .

"Selepas bacaan Yasin, kesemua mereka telah diberikan sedikit tazkirah oleh imam yang bertugas sebagai memberikan kesedaran dan membuka minda supaya tidak melakukan aktiviti sedemikian pada masa yang akan datang," katanya.

Mat Rempit yang ditahan  diminta  solat Subuh secara  berjemaah.

Tambahnya, perkara ini menjadi satu pendekatan yang baru dilakukan oleh polis dalam mendidik dan memberi kesedaran berkenaan bahayanya kegiatan mereka selain menimbulkan rasa takut dan tidak senang kepada orang ramai.

"Selain saman, kita juga hendak memberi pendekatan dari segi rohani kepada golongan ini dan pendekatan ini akan kita teruskan untuk masa yang akan datang," katanya.

Aktiviti bacaan Yasin diadakan selepas solat subuh berjemaah.
Mohd Said juga turut mengingatkan kepada ibu bapa supaya dapat memantau pergerakan anak-anak pada waktu malam supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan berlumba motor secara haram.

Dalam operasi itu, seramai 115 orang penunggang motosikal diperiksa dan sebanyak 135 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiga orang penunggang motosikal ditahan selepas  ujian air kencing didapati positif dadah jenis Metaphetamin.

Polis juga menyita sebanyak 45 buah motosikal kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk membuat pengubahsuaian tidak menepati spesifikasi yang dibenarkan.



SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: