Sunday, 29 July 2018

68 Motosikal Disita Dalam Ops Rempit Jalanan

SHARE

Superitenden Mohd Said Ibrahim
Sebanyak 68 buah motosikal disita dan 205 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, bagi mengekang aktiviti samseng jalanan di daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Mohd Said Ibrahim berkata, operasi selama dua hari yang bermula pada Khamis dan berakhir semalam mensasarkan beberapa laluan di Bandar Chukai dan kawasan Pantai Teluk Mak Nik.

Menurutnya, seramai 39 anggota termasuk lima pegawai terlibat dan dibantu oleh Unit Siasatan Jenayah Narkotik.

"Operasi diadakan berikutan daripada aduan orang ramai dan pengguna jalan raya berkenaan aktiviti samseng jalanan sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk.

"Kebanyakkan mereka terdiri daripada remaja yang telah bekerja dan masih bersekolah telah menjadikan jalanraya sebagai tempat untuk berlumba dan melakukan aksi merbahaya," katanya selepas ditemui pada operasi tersebut semalam.

Sebahagian penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi tersebut.

Dalam operasi tersebut seramai 23 orang penunggang motosikal telah ditahan di Pantai Teluk Mak Nik dan dipaksa menolak motosikal sejauh 6 kilometer menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah.

Mohd Said berkata, sepanjang dua hari operasi dijalankan, sebanyak 205 buah motosikal diperiksa melibatkan seramai 245 orang  penunggang dan pembonceng yang berumur lingkungan 15 hingga 30 tahun.

"Antara kesalahan yang yang dilakukan ialah menunggang motosikal tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempunyai cermin pandang belakang, menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi  dan melakukan pengubahsuian haram terhadap motosikal yang mereka ," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga telah menahan 6 orang penunggang motosikal yang berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun kerana positif dadah jenis Methaphetamin, Heroin dan Morfin.

Tambahnya, operasi pada kali ini pihaknya menggunakan pendekatan baru dengan membawa kesemua yang ditahan untuk menunaikan solat Maghrib dan Subuh secara berjemaah di surau dan masjid berdekatan.

Katanya, tindakan tersebut sebagai usaha untuk memberikan kesedaran melalui aspek kerohanian selain daripada tindakan saman.

"Selain daripada solat berjemaah, pihak jawatankuasa masjid juga telah mengadakan bacaan surah Yasin dan sedikit tazkirah dalam memberikan kesedaran kepada mereka,"katanya.

Mohd Said juga turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak  mereka pada waktu malam agar tidak terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat dan melakukan jenayah.
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: