Thursday, 7 June 2018

World #QuranHour Galak Masyarakat Budayakan Al-Quran Dalam Kehidupan Harian

SHARE


Program World #QuranHour dilihat dapat memberi galakan dan motivasi kepada masyarakat untuk memartabatkan, menghayati dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, program yang menghimpun penglibatan seramai mungkin umat Islam untuk sama-sama membaca al-Quran serentak di seluruh negara selama satu jam itu diharap boleh diperluaskan untuk semua peringkat.


“Tahniah kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) yang telah menganjurkan program World #QuranHour 2018 peringkat negeri untuk kali ketiga.

“Apa yang kita harapkan matlamat program ini tercapai dan untuk masa akan datang bukan hanya berpusat di Kuala Terengganu sahaja tetapi kita harapkan sampai ke peringkat bawahan secara lebih formal.

“Semoga ianya menjadi program berkala dan berterusan dan dapat memberi galakan dan motivasi kepada masyarakat untuk sama-sama dalam program ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program World #QuranHour Peringkat Negeri anjuran PPAT di Dewan Teater PPAT, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed.


Sementara itu, Marzialina berkata, acara kemuncak program selama satu jam iaitu pada jam 12 hingga 1 tengahari itu turut diadakan di seluruh perpustakaan daerah seluruh negeri Terengganu, jabatan kerajaan, agensi-agensi, masjid-masjid serta semua sekolah dan universiti di negeri ini.

 “Kami anggarkan jumlah penyertaan adalah lebih 300,000 orang berdasarkan respon positif yang diterima dari seluruh agensi yang menyertai program ini.

“Lebih membanggakan tahun lepas kita berjaya mengumpulkan lebih daripada 284,000 peserta dan merupakan yang tertinggi di Malaysia,” katanya.

Katanya, Program World #QuranHour diharap akan dapat diteruskan dan dijadikan acara tahunan dan pihaknya yakin melalui hebahan serta promosi yang telah dibuat jumlah sasaran lebih 300,000 akan tercapai.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: