Thursday, 7 June 2018

Dana Raya Diagih Mulai 11 Jun

SHARE


Bantuan Dana Perayaan Aidilfitri 2018 berjumlah RM69.13 juta akan diagihkan kepada 276,541 penerima yang layak mulai 11 Jun (Isnin) ini sebagai persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

Agihan wang dana secara berperingkat itu akan disalurkan melalui bank masing-masing, manakala bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan baucer.

Baucer hanya boleh ditunaikan di Bank Simpanan Nasional (BSN) berdekatan sama ada di Terengganu mahu pun luar Terengganu, tempoh sah laku baucer adalah selama tiga bulan bermula 11 Jun sehingga 11 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah , berkata berdasarkan rekod, seramai 258,973 individu pelbagai kategori layak menerima dana raya melibatkan peruntukan RM64.7 juta bagi permohonan fasa pertama.

Katanya, manakala sejumlah 17, 568 penerima membabitkan peruntukan RM4.4 juta dicatatkan sebagai layak bagi permohonan fasa kedua yang dibuka selama lapan hari, berakhir pada 31 Mei lalu.
“Bagaimanapun jumlah peruntukan dan penerima itu akan bertambah kerana  Jawatankuasa Penilai Dana Raya masih meneliti beberapa permohonan yang ditolak untuk dinilai semula sebelum diluluskan.

“Antara kesilapan yang dikenalpasti termasuk kesilapan mengisi borang dan tidak mengepilkan dokumen,” katanya ketika dihubungi Teganukita.
    
Bantuan tahunan kerajaan negeri itu diagihkan mengikut kategori iaitu RM44.3 juta kepada 177,097 orang yang pendapatan rendah; RM9.7 juta untuk 38,744 warga emas; RM 10.7 juta kepada 42,800 ibu atau bapa tunggal dan RM4.5 juta pula disediakan untuk 17,900 orang kurang upaya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: