Thursday, 7 June 2018

Bayar Cukai Tanah Dilanjut Sehingga 31 Oktober

SHARE


Kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tanpa denda di seluruh Terengganu sehingga 31 Oktober 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah ketika mengumumkannya berkata, lanjutan tempoh bayaran yang sebelum ini tamat pada 31 Mei lalu dibuat bagi memudahkan rakyat dan mengurangkan rasa tertekan serta terbeban, apatah lagi pada musim membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

"Kami menerima banyak aduan daripada rakyat yang tidak sempat untuk membayar cukai hasil tanah kerana tarikh tamat pembayaran tersebut pada 31 Mei 2018. Oleh itu, kami bersetuju untuk menangguhkan tempoh masa itu sehingga 31 Oktober ini.

"Dengan keputusan ini, rakyat berpeluang menunaikan tanggungjawab bagi menjelaskan bayaran tersebut, khususnya selepas Ramadan dan perayaan Aidilfitri,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat mingguan exco, di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.


Mohd Nor berkata, dengan keputusan itu, kerajaan negeri berharap penduduk yang belum menjelaskan cukai hasil tanah atau tunggakannya supaya jangan menangguh-menangguh sehingga tamat tempoh ditetapkan itu.

Tambah beliau lagi, tempoh lanjutan sehingga lima  bulan itu amat wajar bagi memberi ruang untuk semua pihak menunaikan tanggungjawab untuk kebaikan negeri ini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: