Monday, 11 June 2018

Abdul Khalid Dilantik Jadi Penasihat Ekonomi Terengganu

SHARE

Dr Samsuri bermesra dengan guru khidmat masyarakat. Foto Harish Fadzillah Abu Kasim

 
Kerajaan negeri  menawarkan jawatan penasihat ekonomi Terengganu kepada mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertujuan  membantu Terengganu mencapai keadaan ekonomi yang lebih baik.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Abdul Khalid bersetuju dengan tawaran itu dan bersedia memberi pandangan serta nasihat yang relevan dalam memantapkan ekonomi negeri dalam pertemuan yang diadakan sebelum ini.

Katanya,  beliau  tidak memegang jawatan itu secara rasmi tetapi bersetuju membantu kerana apa yang paling penting bukan jawatan sebaliknya peranan yang dimainkan.

"Selain Abdul Khalid, kita juga akan bertemu dan mendapatkan pandangan daripada tokoh-tokoh yang lain seperti tokoh cendekiawan, ekonomi dan masyarakat.


"Kita percaya kerajaan tidak boleh bergerak dengan sendiri tetapi perlu mendapatkan pandangan dan saranan daripada mereka yang mahir di luar sana," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui selepas Majlis Bayaran Bonus Guru Khidmat Masyarakat dan Guru Pintar Al-Quran Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Dato'  Dr Alias Abdullah.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya pada majlis berbuka puasa bersama anak perantau di Bangi, Selangor pada Sabtu lalu mengakui kerajaan PAS Terengganu dikunjungi Abdul Khalid seminggu selepas membentuk kerajaan negeri.

“Terengganu menawarkan jawatan penasihat ekonomi kepada Abdul Khalid susulan keupayaan dan pengalamannya dalam bidang korporat serta berjaya membangunkan kerajaan negeri Selangor ketika pentadbirannya sejak 2008,”katanya. 


Ahmad Samsuri turut memberitahu, kerajaan negeri membelanjakan RM1.8 juta untuk memberikan bayaran bonus kepada guru khidmat masyarakat dan guru pintar al-Quran  RM500 setiap seorang.

“Ia membabitkan seramai 1,705 guru bagi program Pintar Al-Quran manakala seramai 1,944 tenaga pengajar bagi kelas masyarakat,”katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: