Wednesday, 16 May 2018

Terengganu Umum 11 Barisan Exco Baharu

SHARE
Barisan 11 exco kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar (duduk, tengah) bersama pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya  (tiga dari kiri) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azhar Abd Hamid (dua dari kiri).Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim 

Kerajaan negeri Terengganu, hari ini mengumumkan senarai portfolio 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (exco) yang baharu di bawah kepimpinan Pas.
Mendahului senarai, Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, manakala ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak pula menyandang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah memegang portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan.
Bagi portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa dipegang ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim dan portfolio Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran pula dipegang ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar. Sementara portfolio Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat dipegang ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman; manakala ADUN Chukai, Hanafiah Mat pula memegang portfolio  Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional.
ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah memegang portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan NGO; ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh menyandang Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau serta ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja.
Menteri Besar berkata, barisan portfolio dan tugas baru yang dibentuk berbeza dengan kepimpinan sebelum ini selepas menimbangkan keperluan semasa selain mengambil kira pengalaman lepas dan jawatan sama dibentuk kerajaan negeri lain. 

"Objektif akhir kita adalah untuk memastikan kelancaran dan juga penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan sampai kepada sasaran. 
"Portfolio daripada kerajaan sebelum ini kita tidak tolak semua dan tidak juga mengambil semua sebaliknya terdapat perbezaan sedikit dengan melakukan penambahbaikan. Ada portfolio yang baru dimasukkan seperti pelaksanaan syariah disekalikan dengan pendidikan dan pengajian tinggi sesuai dengan manifesto (Pas) kita,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini. 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen:

arrow_upward