Saturday, 5 May 2018

RM3 Juta Bina Padang Sintetik Kemaman

SHARE

Penduduk di Kemaman khususnya golongan muda dapat memanfaatkan padang sintetik baharu yang pertama di Terengganu bernilai RM3 juta hasil cetusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, semasa beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan dahulu, Najib memberi idea untuk membina satu padang sintetik di Kampung Mak Chili, Kemaman dan inisiatif itu amat ditunggu-tunggu serta kini menjadi kenyataan.

“Kemudahan padang sintetik ini menelan kos pembinaan hampir RM3 juta dan kos penyelenggaraan amat rendah serta ia kekal selama tujuh hingga lapan tahun dan tiada sebarang masalah jika dibandingkan dengan kos padang biasa.

“Kita bayangkan cuaca sangat mencabar dan hari ini Kemaman dapat laksanakan padang sintetik siap pada waktu sepatutnya dan pemain peringkat negeri mahupun kebangsaan juga boleh menggunakan padang ini.



“Selain itu, akan ada penambahan bilik persalinan, pusat bina badan dan lampu dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Kemaman di Mini Stadium Kampung Mak Chili, Kemaman, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kemaman merangkap calon BN DUN Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said, calon BN DUN Cukai, Dato’ Mohamed Awang Tera dan calon DUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Menurut Ahmad Shabery, orang ramai boleh menikmati padang sintetik itu yang  secara tidak langsung mencetus era pembangunan bola sepak di Bandar Kemaman.



“Pengalaman Kemaman mempunyai padang hoki yang merupakan antara penyumbang besar melahirkan pemain hoki Malaysia.

“Saya berharap bermula dari padang sintetik ini Kemaman dapat melahirkan pemain bola sepak untuk negeri atau negara pada masa akan datang,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: