Tuesday, 1 May 2018

PRU14 : Pertandingan Tiga Penjuru Kelebihan Kepada BN

SHARE

Oleh : Ezzuan Ahmad

Pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri  (DUN) Chukai  dilihat akan memberi kelebihan kepada BN untuk merampas semula kerusi berkenaan daripada Pas.

Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Dato' Seri Ahmad Said berkata, sebarang kemungkinan mungkin akan berlaku seperti mana yang terjadi kepada Pas apabila ramai penyokongnya yang berpaling tadah menyertai Pakatan Harapan kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti tersebut

"Situasi tersebut akan memberi kelebihan kepada BN di mana pengundi Pas pada pilihan raya sebelum ini memberikan undi kepada PKR sekali gus menyebabkan undi pas itu sendiri merosot.

"Kemerosotan undi yang berlaku antara Pas dan Pakatan Harapan itu akan membolehkan BN mempertahankan kerusi DUN Chukai dan semua kerusi lain yang dipertandingkan dalam Parlimen Kemaman," katanya.


Beliau ditemui selepas menghadiri program Mesra Rakyat bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), di Dewan Sivik, Bandar Seri Bandi, Kemaman, hari ini.

Menurut Ahmad lagi, BN mempunyai kelebihan di kawasan yang mempunyai penyokong tetap dan itu antara indikator kejayaan BN pada kali ini.

Beliau yang juga calon bagi kerusi DUN Kijal berkata, perpecahan yang berlaku di dalam Pas sememangnya dilihat dapat membantu meningkatkan majoriti undi untuk BN.

Tambah beliau, tumpuan kempen juga akan dipergiatkan di semua kawasan penempatan Felda khususnya dalam DUN Air Putih dan Kemasik bersama-sama calon mereka iaitu Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Ir Rosli Othman.

"Kita akan memastikan gerak kerja jentera parti lebih agresif dengan meneruskan usaha untuk mencapai kemenangan di semua lima kerusi yang akan dipertandingkan di daerah ini,"katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: