Monday, 28 May 2018

Program Jelajah Ramadan Ceriakan 40 Anak Yatim

SHARE
Omar menyampaikan sumbangan kepada anak yatim yang terpilih dalam program Jelajah Ramadan. Foto oleh Harish fadzillah Abu Kassim.

Seramai 40 anak yatim ceria apabila menerima barangan keperluan harian dan wang tunai menerusi Program Jelajah Ramadan anjuran  Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut Pengurus Ketengah, Omar Ismail, sebelum itu anak-anak yatim dari tiga buah sekolah di wilayah Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Bukit Besi, Dungun dibawa ke Kuala Terengganu untuk membeli-belah pakaian hari raya.

"Mereka juga diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama pengurusan Ketengah, pengurusan RTM Terengganu dan pengamal media.

"Program kolaborasi ini dibiayai oleh Tabung CSR Ketengah Holding Sdn Bhd iaitu anak syarikat Ketengah dan Jelajah Ramadan ini merupakan sebahagian program tahunan Ketengah bagi membantu golongan yang memerlukannya," katanya kepada pemberita di Program Jelajah Ramadan 1439H/2018M, semalam.

Turut hadir, Pengarah RTM Terengganu, Lokman Muda serta pengamal media.


Program yang berlangsung dua hari bermula dengan majlis berbuka puasa yang dihadiri hampir 500 penduduk kampung serta penyampaian bantuan kepada golongan asnaf fakir dan miskin di Kampung Basong, Hulu Terengganu.

Tambah Omar lagi, program yang dijalankan secara kolaborasi dengan RTM lebih menjurus ke arah menyantuni golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan juga penduduk yang uzur serta memerlukan bantuan.

"Semoga sumbangan dan bantuan ini dapat membantu meringankan beban serta menceriakan penduduk yang berada dalam wilayah Ketengah yang sememangnya sentiasa diberi perhatian oleh pihak kami," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: