Tuesday, 1 May 2018

Nawawi Terima Anugerah Penjawat Awam Terbaik

SHARE
Ahmad Razif menyampaikan anugerah kepada Nawawi. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato'  Wan Nawawi Wan Ismail diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Penjawat Awam Terbaik 2018 sempena sambutan Hari Pekerja peringkat Terengganu, hari ini.

Beliau yang bersara pada pertengahan April lalu memperlihatkan komitmen tinggi terhadap tanggungjawab di samping pendekatan kreatif serta inovatif dalam usaha melancar serta meningkatkan lagi mutu perkhidmatan telah meletakkan pejabat SUK negeri dalam kelas tersendiri dengan turut meraih pelbagai anugerah di peringkat negeri dan negara.

Nawawi yang juga calon  Barisan Nasional Parlimen Kuala Terengganu memberitahu penganugerahan yang diterima itu menguatkan lagi semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat.



"Kejayaan demi kejayaan yang dicipta sewaktu mengalas jawatan SUK akan digarap dan diguna pakai sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu," katanya.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Pekerja peringkat negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam majlis itu  Pejabat SUK turut menerima Anugerah Majikan Prihatin dan Anugerah Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) Terbaik manakala Jabatan Kesihatan meraih Anugerah Kehadiran Kakitangan Jabatan Tertinggi.

Berucap dalam majlis itu Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sangat menghargai sumbangan pekerja yang bersama menterjemahkan dasar dan hasrat untuk memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

“Data yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan mencatatkan negeri Terengganu pada tahun 2017 mempunyai seramai 435,900 orang pekerja, meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 428,400 orang.

“Ini menunjukkan bahawa ekonomi negara dan negeri berkembang baik berikutan pertambahan bilangan pekerja di seluruh negara,” katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: