Sunday, 6 May 2018

Bina 200 Rumah Untuk Peserta Projek Akuapolitan Kuala Nerus

SHARE
Ahmad Razif (tiga kiri) melihat replika rumah contoh di Majlis Pelancaran Projek Perumahan Akuapolitan Kuala Nerus di Kampung Seberang Pak Abu, Seberang Takir, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kerajaan negeri hari ini melancarkan projek pembinaan 200 unit rumah fasa pertama untuk nelayan yang terlibat dalam program Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) di Kampung Seberang Pak Abu, Seberang Takir.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek yang dijalankan dalam beberapa fasa itu secara keseluruhannya kelak bakal menyediakan penempatan bagi 452 keluarga yang dilibatkan di bawah program ke arah mentransformasikan kehidupan keluarga nelayan.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM32 juta untuk pembinaan rumah mampu milik jenis ‘townhouse’ itu yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.

“Bagi fasa pertama, kita lancarkan projek perumahan dimana 200 unit rumah akan disediakan kepada 452 peserta yang terdiri daripada nelayan-nelayan di Kuala Nerus terutama nelayan miskin yang tiada rumah.

 “Kita hendak bantu mereka supaya dapat mempertingkatkan ekonomi keluarga dan juga dapat mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

“Selain itu, projek perumahan ini juga akan mewujudkan satu taman baru di kawasan ini yang begitu strategik sebab dekat dengan ‘drawbridge’,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Perumahan Akuapolitan Kuala Nerus di Kampung Seberang Pak Abu, Seberang Takir, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato ' Mohd Zubir Embong, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' A.Rahman Yahya serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) , Dato’ Seri Jebasingam Issace John.

Katanya, projek tersebut sebenarnya telah dimulai oleh allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri lebih daripada 50 tahun dahulu menerusi pembinaan rumah murah di Telaga Daing yang digelar rumah murah sarang merpati.

“Di situ asasnya, tetapi projek itu tidak berjaya kerana kediaman yang dibina jauh dengan tempat mereka (nelayan) bekerja.

“Tetapi yang kita buat disini adalah berkonsep kepada Felda yang diselaraskan oleh satu entiti besar iaitu ECERDC dan kita mengunapakai konsep macam Felda,” ujarnya.


Ahmad Razif berkata, projek berkenaan akan disusuli dengan fasa kedua yang akan melibatkan pembinaan infrastruktur termasuk kemudahan jalan, jambatan, jeti, tempat pemprosesan hasil laut dan juga bazar berkonsepkan ‘fish market’ serta butik hotel untuk merancakkan sektor pelancongan di kawasan itu.

“Ini sebagai pilot projek, jika ianya berjaya akan diambil oleh ECERDC untuk jadi model bagi dilaksanakan di seluruh negara,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: