Thursday, 3 May 2018

500 Penduduk Besut Berpeluang Miliki Rumah

SHARE


Idris (tiga dari kiri) bersama Pehimi (dua dari kanan) Tengku Zaihan  melihat model Projek Perumahan Rakyat Jertih. Foto oleh Hasmizi Hamid dan Mohamad Ishak



Masalah mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa yang dihadapi oleh penduduk Daerah Besut dijangka dapat diatasi apabila kerajaan akan membina 500 unit rumah menerusi  Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan kos RM97.5 juta di Kampung Padang Tapung, Jertih, semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, projek PPR membabitkan pembinaan 500 unit kediaman dikenali PPRT Jertih itu dibuka kepada penduduk Besut yang layak mengikut syarat ditetapkan kerajaan.

Katanya, projek dibiayai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu adalah yang ketiga dibina kementerian berkenaan selepas Tepuh dan Padang Hiliran,Kuala Terengganu.


Idris yang juga Calon Parlimen Besut berkata, projek untuk kesejahteraan rakyat itu akan dilengkapkan dengan surau, dewan komuniti, kelas tadika, padang permainan, lanskap dan kedai yang bakal menjamin keselesaan dan memberi kemudahan kepada penghuninya.



“InsyaAllah projek perumahan ini akan dapat disiapkan pada 2021 dan ia akan ditawarkan kepada orang ramai dan keutamaan kepada penduduk Daerah Besut, katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan semalam.

Turut hadir, Calon BN DUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof dan calon BN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman.

Idris yang mewakili menteri berkenaan, Tan Sri Noh Omar berkata, pembinaan rumah berkenaan membuktikan satu lagi usaha kerajaan BN untuk memberi kemudahan tempat tinggal yang selesa kepada penduduk daerah ini.

Beliau berkata, sebelumnya Pejabat Ahli Parlimen Besut sudah membina 200 rumah komuniti yang diberikan percuma kepada golongan miskin daerah itu sejak projek itu diperkenalkan pada Januari 2016.


Gambaran pelukis Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jertih

Mengenai peluang BN Besut pada  Pilihan Raya Umun PRU-14 (PRU14), beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Parlimen Besut berkata, BN dijangka mengekalkan kesemua empat DUN dan Parlimen Besut pada pilihan raya kali ini.

“Kejayaan ini berdasarkan sambutan pengundi Besut terhadap pelbagai program yang dijalankan oleh jentera BN selain kekuatan calon di parlimen berkenaan,” katanya.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: