Tuesday, 1 May 2018

40,000 Mahasiswa Anak Terengganu Terima Manfaat Kad Gen-T

SHARE
Ahmad Razif beramah mesra bersama sebahagian pelajar yang menerima Kad Gen-T pada Majlis Pelancaran Kad Siswa Generasi Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim
Kerajaan negeri telah mengagihkan Kad Siswa Generasi Terengganu (Kad Gen-T) kepada 40,000 pelajar universiti yang terdiri daripada anak-anak Terengganu dan berdaftar dengan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan mereka.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kad Gen-T yang berkonsepkan e-wallet itu memberi pelbagai manfaat kepada pelajar khususnya pemotongan harga istimewa di premis yang berdaftar sebagai rakan niaga bagi perlaksanaan kad ini.

Menurut beliau, buat permulaan kad berkenaan boleh digunakan di premis-premis seperti Chicken Cottage, T-Kitchen, Primula Beach Hotel, Duyung Marina & Resort, Kedai Buku Banggol dan beberapa lagi rakan niaga Kad Gen-T yang menawarkan diskaun antara lima hingga 50 peratus.


Katanya, fungsi Kad Gen-T akan diperluaskan dari semasa ke semasa termasuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan rakan strategik yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada pelajar.

‘Kerajaan negeri sebagai jambatan untuk menghubungkan kepada mana-mana syarikat melakukan tanggungjawab sosial korporat mereka.

‘Kita akan perluaskan lagi fungsi kad ini dengan bekerjasama dengan syarikat yang berminat kerana ini adalah salah satu cara kerajaan negeri untuk bantu pelajar," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kad Siswa Generasi Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri A. Latiff Awang, Naib Cancelor UMT Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Pengarah Yayasan Terengganu Ishamudin Hashim.

Menurut Ahmad Razif, setakat ini kerajaan negeri bekerjasama dengan 15 syarikat untuk perlaksanaan Kad Gen-T.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: