Tuesday, 3 April 2018

Tindakan Tegas Jentera Parti Salah Guna Harta Awam

SHARE
Wan Nawawi menerima pengiktirafan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi pemakaian pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) yang dilakukan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato' Seri Wan Mohd Nor Ibrahim di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah 

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana parti yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekiranya terlibat dalam penyalahgunaan harta kerajaan dan awam untuk tujuan kempen politik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Terengganu supaya mengambil tindakan segera terhadap parti yang ingkar.

“Pada setiap musim pilihan raya, memang kita dapati ada parti-parti yang bertanding selalu menggunakan sama ada premis atau harta awam seperti tiang elektrik dan sebagainya untuk digantung bendera parti, poster atau apa sahaja alatan kempen.

“Saya telah memberikan arahan kepada semua PBT untuk melarang parti yang bakal bertanding pada PRU14 nanti menggunakan harta milik kerajaan untuk tujuan berkempen,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima pengiktirafan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi pemakaian pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Dato' Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

Wan Nawawi berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana boleh mengundang bahaya terhadap pengguna jalan raya dan orang awam.

“Kita sudah bagi arahan untuk PBT mengambil tindakan segera termasuk menurunkan bendera parti yang dipasang di tempat awam seperti jambatan serta yang dipasang tanpa mengikut spesifikasi sepatutnya,” katanya.

Tambah beliau, kesemua jentera parti termasuk pihak kerajaan mahupun pembangkang telah diberikan penjelasan untuk tidak menggunakan harta awam bagi tujuan berkempen.

“Tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, tindakan boleh dikenakan terhadap mana-mana parti yang mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya dan juga sesetengahnya yang boleh mengundang bahaya.

“Kita telah panggil semua jentera parti termasuk pembangkang dan mereka bersetuju memberikan kerjasama dan diharapkan kerjasama yang diberikan akan berterusan sehingga ke kempen akhir pilihan raya,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: