Sunday, 1 April 2018

Terengganu Berpotensi Jadi Pusat Sukan Bermotosikal Negara

SHARE





Tengku Sri Temenggong Raja menyarungkan jaket sebagai cenderahati kepada Menteri Besar sempena majlis perasmian dan Makan Malam TBW 2018, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim


Terengganu berpotensi muncul sebagai pusat permotoran motosikal negara satu masa nanti dengan kejayaan penganjuran Terengganu Bike Week (TBW) yang sudah masuk edisi ketujuh tahun ini serta kewujudan kemudahan litar lumba yang mendapat sambutan peminat sukan itu dari seluruh Malaysia pada masa kini.

Pembinaan litar lumba baharu di sebelah Velodrom Azizulhasni di Dungun seperti yang diumumkan oleh kerajaan negeri, baru-baru ini serta litar lumba sedia ada di Gong Badak, Kuala Nerus turut menyumbang kepada potensi itu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha bagi merealisasikan hasrat itu  dan tiada masalah bagi membantu TBW mencapai penyertaaan luar biasa daripada peminat sukan itu pada setiap tahun.

“Pada tahun pertama (TBW) tidak sampai 1,000 peserta, tahun kedua 1,000 lebih..Malam ini saya dimaklumkan lebih 2,000 telah menyertai program ini. Saya percaya tahun depan akan jadi lebih 3,000 akan menyertai program ini.

“Bagi menyambut kunjungan peserta (lebih 3,000) tahun depan, maka kita akan membuat persediaan awal. Kita akan membuat persiapan dan mahu menyediakan pusat konvensyen di bandar Kuala Terengganu yang boleh memuatkan tidak kurang 2,500 peserta untuk meja bulat dan kemudahan itu akan dilaksanakan segera. Pada masa yang sama, pada tahun depan juga lebih banyak infra dan pusat pelancongan baharu akan disediakan kepada pengunjung seperti jambatan angkat (KTCC) dan bas amfibia juga kemungkinan boleh beroparasi sepenuhnya,”katanya.


Beliau berucap demikian di majlis Perasmian dan Makan Malam TBW 2018, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT), Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Terengganu menjadi tuan rumah Terengganu Bike Week buat kali ketujuh, di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, bermula 30 Mac dan berakhir hari ini.

Program tahunan anjuran Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri bakal menghimpunkan hampir 3,000 pemilik motosikal kuasa tinggi dari seluruh Malaysia termasuk Brunei, Singapura  dan Thailand berkampung di Terengganu.

Ahmad Razif berkata, program TBW memberi manfaat yang besar kepada rakyat negeri ini kerana wujudnya kuasa beli yang tinggi di kalangan peserta dari luar Terengganu dan luar negara termasuk Thailand, Singapura dan Brunei sepanjang berada di negeri ini.



“TBW akan menyebabkan berlaku suatu transformasi ekonomi. Tuan puan bukan sahaja melihat keindahan dan menghayati panorama sambil bercuti di Terengganu yang dikenali sebagai `negeri cantik, budaya menarik dan orangnya InsyaAllah baik-baik,’.

“Jadi dengan apa yang ada di sini sudah pasti akan menarik untuk membawa kunjungan tuan puan berulang kali ke Terengganu bersama keluarga pada masa akan datang kerana ada sesuatu yang akan menggamit dan memberi manfaat kepada pengunjung,”katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: