Wednesday, 25 April 2018

PRU14 : Senarai Calon BN Terengganu Muktamad

SHARE
Ahmad Razif ketika melakukan gimik perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Nerus Kali Ke-2 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) 9 Mei ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya tidak akan melayan rayuan atau permohonan daripada mana-mana pihak berhubung senarai calon.

"Kita tidak ada masalah. Kita sudah muktamad dengan keputusan senarai calon ini kerana penilaian dibuat daripada banyak segi dan kita tidak akan terikut dengan apa saja permohonan atau rayuan daripada mana-mana pihak.

"Sebenarnya sebelum senarai calon diputuskan, kajian telah dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri selama empat tahun untuk melihat keyakinan rakyat dan calon yang terpilih ini adalah yang benar-benar berkhidmat dan diterima baik oleh rakyat,"ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Nerus Kali Ke-2 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Ianya sebagai mengulas mengenai protes sebahagian ahli UMNO bahagian Kemaman terhadap pemilihan bekas EXCO dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato' Mohamed Awang Tera sebagai calon kerusi DUN itu pada PRU kali ini.


Menurut Ahmad Razif yang juga Pengerusi BN negeri, beliau yakin calon yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan adalah yang terbaik dan mampu menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya nanti.

"Saya telah menerima mandat dari presiden parti iaitu Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa tiada perubahan calon setakat ini dan calon yang kita umumkan itulah yang akan bertanding pada PRU14 nanti.

"Selepas penamaan calon 28 April ini saya yakin dan percaya semua perkara ini akan selesai," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: