Sunday, 29 April 2018

PRU14 : Tengku Asmadi Mahu Bangunkan Modal Insan, Seiring Pembangunan Fizikal

SHARE
Perbezaan fahaman politik bukan jurang untuk Tengku Asmadi (kanan) merapatkan silaturrahim dengan calon Pas. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim

Pakar motivasi tersohor negara, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad mahu mengimplementasikan kekuatan yang ada pada dirinya untuk membangunkan modal insan selari dengan kepesatan pembangunan fizikal di Kuala Nerus.

Menurutnya, Daerah Kuala Nerus dan juga Kuala Terengganu kini membangun dengan pelbagai prasarana dan pelbagai projek kesejahteraan rakyat hasil usaha berterusan Kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai pemimpin utama, Menteri Besar yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.

Dr Tengku Asmadi anak jati Seberang Takir berasal dari keluarga miskin berkata, menjadi matlamatnya untuk memberi fokus kepada penguasaan kemahiran tinggi terutama dalam kalangan generasi muda, bagi memberi peluang golongan yang kurang cemerlang dalam pelajaran untuk turut  sama mencipta kejayaan.

"Saya mahu menggunakan kelebihan sebagai pakar motivasi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terutama di Kuala Nerus bahawa ilmu dan pelajaran sahajalah yang dapat membawa kita keluar dari kepompong kemiskinan.

"Keutamaan saya kini adalah membawa penduduk keluar dari kemiskinan sepertimana saya sendiri bangkit dari kesusahan zaman kecil dahulu melalui pendidikan. Malah, sepanjang 25 tahun di bidang ini, saya juga sudah memberi motivasi kepada lebih 400,000 pelajar dari kalangan yang pelbagai latar belakang dan masalah seperti mat rempit, ponteng sekolah, namun mampu berjaya dengan pendidikan.

 "Jika boleh, biarlah nanti di Kuala Nerus sekurang-kurangnya ada satu graduan setiap rumah dan ada orang yang berkemahiran tinggi supaya golongan ini kelak yang akan membantu keluarga pula keluar daripada kemiskinan,"katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media PRU14 Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dr Tengku Asmadi akan bertanding menentang calon Pas yang juga penyandang, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta Parti Keadilan Rakyat, Abdullah Mohamad.

Ketika ditanya mengenai kemampuan beliau untuk merampas semula kerusi parlimen itu, beliau yakin cabaran itu mampu dipikul dan akan memastikan suara rakyat di Kuala Nerus mampu dibawa ke Parlimen.


"Saya tahu ramai yang mahu berada di kerusi (parlimen) ini, namun sudah ditakdirkan ia rezeki dan tanggungjawab buat saya memikul amanah ini. Sebagai menerima pencalonan ini, perkara utama saya selain meneruskan rasa syukur saya tidak lupa merendah diri dan menghubungi semua mantan pemimpin kawasan serta yang berhormat untuk mendapatkan restu serta pandangan daripada mereka.

"Saya hadir dalam kancah politik ini tanpa sebarang isu dan ini antara kelebihan saya untuk terus memberi fokus perihal rakyat dan mendengar suara hati mereka untuk dilaksanakan nanti apabila mendapat mandat daripada rakyat,"katanya.

Beliau menerima tanggungjawab itu dengan penuh rendah diri dan tawaduk selepas mendapat restu daripada Allahyarham ibunya, Fatimah A Rahman dan dua isteri, Nor Sarina Zakaria dan Tun Nurul Huda Abdul Rahim serta lapan anaknya.

"Pencalonan ini amanah dan tanggungjawab besar buat saya. Saya terima kerana yakin boleh menyumbang bakti dan berkhidmat untuk masyarakat setempat. Saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin dan menunaikan segala janji saya untuk manfaat rakyat.

"Isteri-isteri bersama anak-anak serta seluruh keluarga merestui perjuangan saya demi agama dan bangsa ini. Malah, ketika nama saya disebut-sebut akan menjadi calon PRU pada akhir tahun lalu, ibu saya juga merestui dan memberi sokongan penuh," ujar beliau lagi.

Pun begitu, menurut pemilik MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd itu lagi, ibunya tidak sempat melihat pencalonannya menjadi realiti kerana meninggal dunia pada Disember tahun lalu akibat sakit tua.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: