Monday, 30 April 2018

PRU14: Pengundi Di Tepoh Perlu Bijak Menilai

SHARE


Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh sewajarnya menilai kembali perubahan dan pembangunan yang dilaksanakan sepanjang pemimpin pembangkang mengambil alih kawasan itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail berkata, penilaian yang dibuat perlu tepat, adil dan berfokus kerana setiap prasarana yang dibangunkan seperti pembinaan jalan raya dan  perumahan dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun menyedari kawasan itu dipimpin pembangkang, Keraajaan BN tetap setia melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat.

“Sebagai contoh, perubahan ketara yang sudah dinikmati penduduk di kawasan itu adalah pembinaan jalan raya  bermula dari Gemuroh menghala ke Manir-Banggol Tuan Muda kemudian melintasi Kampung Pulau Sekati- Losong dan seterusnya boleh ke Pusat Bandar Kuala Terengganu.

“Sejak perasmian jalan itu dan juga pembukaan Lebih Raya Pantai Timur II dua tahun lalu, peniaga kedai makan, kedai buah, pasar basah dan pasar malam semakin mendapat sambutan orang ramai,” katanya kepada Teganukita, di Pusat Media PRU14, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Basir, apa yang membanggakan ada penduduk lain turut bersama-sama membuka perniagaaan kecil-kecilan sepanjang laluan itu selepas melihat peniaga sedia ada yang juga rakan sekampung bertambah maju.

“Perkara itu, pastinya dapat menambah pendapatan penduduk setempat melalui perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Apabila bercakap mengenai perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat di kawasan itu, calon BN DUN Tepoh itu berkata,  beliau berkata masih belum berpuas hati kerana banyak perkara yang perlu ditambah baik terutama berkaitan prasarana, kemudahan sukan dan perumahan.

“Oleh itu, saya ingin berpesan kepada rakyat di Tepoh, buatlah pilihan yang terbaik pada PRU14 nanti  untuk kelangsungan kemajuan dan perubahan di Tepoh,” katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: