Saturday, 28 April 2018

PRU14: Penamaan Calon Parlimen Marang Penuh Debaran

SHARE
Calon-calon Parlimen dan DUN Marang bergambar setelah selesai penamaan calon.
Proses penamaan calon Parlimen Marang (P037) berlangsung penuh debaran berikutan semua calon dan penyokong terpaksa menunggu sehingga hampir jam 1 petang sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Marang, Mat Azmi Arshad mengesahkan semua calon layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Seawal jam 8 pagi proses penamaan calon berjalan lancar apabila kesemua calon berarak diiringi penyokong ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Marang, pagi ini.

Calon PKR Mohd Dalizan Abd Aziz (Bukit Payung), Aidi Ahmad (Pengkalan Berangan) dan Azri Alias (Alur Limbat) diketuai Dr. Zarawi Sulong (Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang) hadir seawal jam 8.30 pagi di pusat penamaan.

Manakala, calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Nor Endut hadir (Parlimen Marang) bersama To' Puan Zaitun Mat Amin (Bukit Payung), Dato' Saiful Bahri Baharuddin (Alur Limbat), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan) memasuki pusat penamaan pada jam 8.55 pagi.

Calon Pas Ariffin Deraman (Alur Limbat), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung), Sulaiman Sulong (Pengkalan Berangan) dan Profesor Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Rhu Rendang) yang diketuai Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang (Parlimen Marang) pula tiba jam 9.05 pagi.

Kesemua calon menyerahkan borang pencalonan sebaik pusat penamaan calon dibuka dan berakhir jam 10 pagi.

Mat Azmi Arshad mengumumkan kesemua calon-calon diterima bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke- 14 menyaksikan parlimen Marang dan kesemua empat DUN iaitu Alur Limbat , Bukit Payung, Pengkalan Berangan dan Rhu Rendang menghadapi saingan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Calon Parlimen Marang (P037) dari kiri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Dr. Zawawi Sulong dan Mohamad Nor Endut.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: