Saturday, 28 April 2018

PRU14: Penamaan Calon Kuala Nerus Lancar

SHARE

Proses penamaan calon P035 Kuala Nerus bertempat di Kompleks Majlis Sukan Negeri, Gong Badak, pagi ini berjalan lancar.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

"Perjalanan untuk proses penamaan calon pada pagi ini berjalan lancar.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pegawai pengurus dan juga anggota SPR pada pagi ini yang dapat melaksanakan proses penamaan calon dengan lancar.

"Malah, pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan dengan begitu baik sekali dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan kepada wakil SPR di Kompleks Majlis Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.

Ahmad Razif yang juga calon Barisan Nasional (BN) DUN Seberang Takir turut berterima kasih kepada kesemua penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kawasan itu yang berpolitik secara matang.

"Saya juga hendak mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong parti BN, Pas dan Pakatan Harapan kerana semua penyokong tidak agresif dan mereka berpolitik secara matang.

"Ini menampakkan pembaharuan dan proses demokrasi yang terpimpin dan begitu baik sekali," ujarnya.

Katanya, persiapan rapi yang telah dibuat oleh pasukan keselamatan dan SPR telah membolehkan kesemua calon membuat proses penamaan calon dengan aman dan penyokong juga terkawal.

"Saya berharap proses sebegini (keadaan aman) akan berterusan sampai ke hari pengundian pada 9 Mei ini," ujarnya.

Ahmad Razif bersama empat lagi calon BN Kuala Nerus menyerahkan borang pencalonan kepada wakil Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira 9.05 pagi.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: