Friday, 27 April 2018

PRU14: Kembalikan Kegemilangan Pembangunan Marang

SHARE
Mohamad Nor berucap di hadapan penduduk dalam Majlis Tahlil dan Solat Hajat DUN Bukit Payung


Calon P037 Parlimen Marang, Mohamad Nor Endut menyeru 105,000 pengundi yang turun pada 9 Mei ini untuk mengembalikan legasi kepimpinan kepada Barisan Nasional (BN) yang cemerlang membangunkan daerah dan negeri.

"Sewaktu Dato' Sri Abdul Rahman Bakar memimpin parlimen ini pada tahun 1986, beliau telah membangunkan Bukit Kor dengan Industri Kecil Sederhana (IKS).

"Manakala, pada tahun 2004, beliau sekali lagi membuat pembangunan dengan membina Institut Latihan Perindustrian di Bukit Parit. Kedua-dua pembangunan ini telah memberi banyak manfaat kepada penduduk Marang.

"Saya yakin dan percaya 56 peratus pengundi muda yang menguasai undi pada Pilihanraya Umum ke - 14 kali ini mahukan transformasi baharu kepada parlimen ini dan melihat 'track record' pembangunan yang dibawa pemimpin terdahulu," katanya ketika ditemui di bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung , Marang, malam tadi.

Mohamad Nor memberitahu, sepanjang penggal lalu, kerajaan tidak lupa membangun daerah ini melalui pegawai- pegawai yang dilantik terutama Pegawai Pembangunan Parlimen dan DUN masing-masing.

"Tetapi, kita tidak mendapat peruntukan yang besar dan hanya menumpukan infrastruktur keperluan rakyat.

"Jadi, untuk mendapatkan impak yang lebih besar kepada pembangunan Marang, rakyat mesti meletakkan calon Barisan Nasional sebagai wakil kepada rakyat di parlimen ini supaya nikmat pembangunan itu lebih menyeluruh," katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: