Monday, 12 March 2018

Tindakan Tegas Jika Biar Haiwan Berkeliaran

SHARE
Samiun Salleh

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak akan berkompromi dan akan mengenakan denda mandatori RM250 bagi setiap ekor haiwan peliharaan yang ditangkap berkeliaran di kawasan tumpuan awam sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya serta mencacatkan pemandangan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, tindakan tegas diambil bagi memastikan pemilik haiwan itu lebih bertimbang rasa serta tidak sewenang-wenangnya membiarkan ternakan seperti lembu dan kambing tanpa pengawasan.

“Kita perlu mengambil tindakan tegas bagi mendidik pemilik supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka di merata-rata. Jika 10 ekor berjaya ditangkap, maka pemiliknya boleh dikenakan denda sehingga RM2,500 dan kita tidak melayan sebarang rayuan.

“MBKT juga akan meningkatkan operasi menangkap haiwan berkeliaran bagi memastikan keselamatan orang ramai dan nyawa pengguna jalan raya diutamakan selain kebersihan dan keindahan persekitaran Bandar Raya Kuala Terengganu lebih terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Datuk Bandar Bersama Media di Kelab Eksklusif MBKT Batu Burok, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Samiun berkata, di bawah perkara 6 UUK (haiwan merayau) MBKT 1989, pihanya boleh mensita atau menembak mana-mana haiwan yang didapati merayau atau berkeliaran dalam kawasan majlis.

Tambahnya,  haiwan ternakan tersebut akan disimpan di depoh tahanan MBKT, Chendering dan hendaklah dituntut dalam masa dua minggu dari tarikh tangkapan.

“Jika haiwan yang ditangkap atau disita tersebut tidak dituntut melebihi dua minggu dari tarikh tangkapan, haiwan itu akan dilelong dan lelongan akan dibuka kepada sesiapa yang berminat,"katanya.

Menurutnya, jumlah kadar tebus adalah RM30 seekor dan caj tambahan adalah RM10 seekor bagi setiap hari selepas itu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: