Thursday, 15 March 2018

SPM 2017 : Terengganu Kekal Terbaik

SHARE


Terengganu terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan apabila Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 merekodkan peningkatan dengan Gred Purata Keseluruhan (GPK) negeri 4.90 mengatasi GPK kebangsaan 4.97.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, ini merupakan kejayaan yang membanggakan bagi 2017 dan menyamai pencapaian terbaik yang pernah dicapai Terengganu dalam SPM.

"Sebanyak 88.50 peratus iaitu 16,195 daripada 20,525 calon SPM negeri ini lulus penuh peperiksaan itu dan layak memperolehi sijil.

"Seramai 278 calon memperoleh keputusan cemerlang A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan SPM di Terengganu," katanya pada sidang akhbar pengumuman SPM di pejabat Jabatan Pendidikan Terengganu, hari ini.

Beliau juga berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa subjek atau mata pelajaran yang telah menyebabkan pelajar tidak mendapat semua A+.

“Antara subjek yang kita kenal pasti ialah bahasa Inggeris dan matematik tambahan.Selain itu, subjek sains tulen iaitu kimia, biologi dan fizik serta matematik tambahan termasuk subjek bahasa melayu. Kita akan fokus kepada subjek-subjek ini,” katanya lagi.

Dua pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat semua A+ ialah Muhammad Khairul Azri Mohd Khalid dari Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan Muhammad Syauqellah Razali dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu yang mendapat 11A+ dan Nur Ellena Elmie dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus,  mendapat 9A+.

Sekolah Menengah Imtiaz, Besut dan Sekolah Menengah Sains  Sultan Mahmud Kuala Terengganu pula merupakan sekolah paling cemerlang manakala calon berkeperluan khas (CBK), Ahmad Izzat Sohame @ Suhaimi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu yang mengalami disleksia pula adalah calon CBK cemerlang negeri, dengan mendapat 4A, 2A-, 1B+, 1C+, 1C.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: