Thursday, 22 March 2018

Bina Rumah Projek Akuapolitan Kuala Nerus Mula April Ini

SHARE



Projek Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) fasa pertama membabitkan pembinaan 200 rumah peserta dijangka bermula pertengahan April ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pembinaan rumah tersebut dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 452 peserta dengan kos keseluruhan berjumlah RM21 juta.

“Ia akan dibina di Seberang Pak Abu di Seberang Takir, untuk menempatkan sebahagian daripada keluarga nelayan yang terlibat dengan projek berkenaan,”katanya.


Beliau berkata demikian  selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER, di Pejabat ECER, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar.

Ahmad Razif turut memberitahu, hasil mesyuarat bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Terengganu tadi, projek pembangunan itu  dijangka akan memakan masa 18 bulan dan akan siap pada 2020.

“Sebaik sahaja pembinaan rumah ini selesai, ia akan diikuti dengan pembinaan projek untuk pengisian dan aktiviti-aktiviti bagi Projek Akuapolitan Kuala Nerus yang mana telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada tahun lepas

“Peserta yang telah dikenal pasti, telah menjalani latihan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER,”katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: