Friday, 30 March 2018

Kerajaan Negeri Hadiah SSPN1M-i Kepada 1,163 Pelajar Cemerlang

SHARE
Ahmad Razif (tengah) bersama pelajar cemerlang PPSR dan PBSMR 2017 Yayasan Terengganu di Duyong Marina Resort, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM581,500 kepada 1,163 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang bagi Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, insentif berupa akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1 Malaysia (SSPN1M-i) bernilai RM500 diberikan kepada pelajar tersebut atas kecemerlangan akademik yang ditunjukkan dalam peperiksaan berkenaan tahun lalu.

Menurut beliau, seramai 578 pelajar berjaya memperoleh semua A dalam peperiksaan PPSR dan 585 lagi mendapat keputusan cemerlang dalam PBSMR.


"Pada tahun ini, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memilih SSPN1M-i sebagai hadiah kepada pelajar atas kecemerlangan mereka.

"Anugerah kecemerlang pelajar merupakan insentif kerajaan negeri dalam memperkembang dan mempertingkatkan kemajuan pendidikan di negeri ini sekaligus merangsang pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan," ujarnya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar PPSR dan PBSMR 2017 Yayasan Terengganu di Duyong Marina Resort, hari ini.

Pada majlis tersebut, Ahmad Razif menyampaikan sijil SSPN1M-i kepada 400 pelajar cemerlang dalam daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.









SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: