Tuesday, 20 March 2018

Jangan Guna Perkhidmatan Pergigian Haram - Roslee

SHARE
Roslee menyampaikan sumbangan kepada seorang peserta dalam Program Kesihatan Pergigian Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, hari ini.

Kerajaan negeri menasihatkan pengguna di negeri ini tidak terpedaya dengan perkhidmatan pergigian yang tidak bertauliah berikutan boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Walaupun kes yang direkodkan kecil dan terkawal kerajaan tetap memandang serius kegiatan doktor gigi palsu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud berkata, berdasarkan rekod, sebanyak lima kes dari tahun 2015 hingga 2018 membabitkan kegiatan pemasangan pendakap gigi palsu yang didalangi wanita.

"Kita harap rakyat sentiasa peka dengan masalah serta isu yang berlaku ini. Jangan cepat percaya (tawaran doktor palsu) dan berurusan (dapat rawatan) di tempat yang betul.

"Di kampung kita berurusan di klinik-klinik desa yang disediakan kerajaan serta hospital-hospital yang sedia ada,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyempurnakan perasmian Program Kesihatan Pergigian Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Jusoh.


Menurutnya lagi, orang ramai masih kurang sedar dan mudah terpedaya dengan tawaran harga murah perkhidmatan pendakap gigi palsu adalah orang tidak bertauliah.

"Kita menyeru masyarakat supaya mendapatkan rawatan di klinik pergigian kerajaan ataupun swasta yang berdaftar serta dilakukan oleh pengamal pergigian yang bertauliah,"katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pergigian tidak bertauliah boleh melaporkan aktiviti itu kepada Bahagian Kesihatan Pergigian JKNT di talian 096226028 agar penguatkuasaan boleh dijalankan dan tindakan tegas boleh diambil.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: