Friday, 2 March 2018

Fokus Untuk Rampas Semula 15 DUN, 4 Parlimen Kalah - Ahmad Razif

SHARE
Foto oleh Hasmizi Hamid


Saya sendiri akan mengetuai dan melihat secara berfokus serta meneliti 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-13, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, beliau akan memainkan peranan sebaik mungkin merampas kembali 15 DUN dan 4 parlimen yang jatuh ke tangan pembangkang dan memulangkannya kepada BN.

"Yang mana 17 DUN menang tu saya lihat juga tetapi saya beri sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan yang ada.

"Empat Parlimen yang menang seperti di Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.. kita beri kepada ketua bahagian untuk menjaganya dan mengatur strategi bagi mengekalkan kemenangan.

"Dan empat kawasan parlimen lagi saya sendiri akan fokus untuk melihat keperluan supaya kita boleh tambah lagi di samping 'retain' dan 'regain' mana-mana kerusi yang kita boleh dapat semaksima mungkin,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen BN Terengganu di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato' Seri Jailani Johari; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi jawatankuasa konvensyen, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan barisan kepimpinan UMNO negeri bersama parti komponen lain.

Ahmad Razif berkata, pihaknya akan membuat penyelarasan dan 'monitoring' serta akan turun kebawah untuk melihat persediaan jentera.

"Mana-mana yang perlu dibantu..kita akan bantu termasuk gunakan modul dari Kemaman untuk bantu parlimen lain.

"Dengan semangat sekawan, semangat persahabatan dengan ikhlas, perjuangan yang berkobar..Insha Allah, kita akan berada di landasan yang betul maka kita akan dapat lihat keputusan yang memihak kepada BN," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: