Sunday, 4 March 2018

EKSPO TERENGGANU 2018: Hampir 10 Tan Nenas MD2 Terjual Sepanjang 7 Hari

SHARE
Nenas MD2 masih mendapat tumpuan pada hari kelapan Ekspo Terengganu 2018. 

Nenas MD2 berjaya mencuri tumpuan rakyat Terengganu apabila hampir 10 tan telah terjual sepanjang Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus selama tujuh hari bermula 25 Februari lalu.

Pengusaha nenas tersebut, Noriah Daud, 53, berkata beliau telah melibatkan diri dalam penanaman nenas sejak 10 tahun lalu namun untuk Nenas MD2 ianya mula ditanam pada tahun lalu.

Katanya, nenas MD2 mendapat sambutan yang menggalakkan kerana rasa dan teskturnya berbeza daripada nenas lain selain sukar untuk didapatkan.

"Ini merupakan kali pertama kami menjual sendiri nenas MD2 kepada orang awam. Sebelum ini, kami hanya menjual secara borong kepada pemborong-pemborong yang mengambilnya di ladang nenas yang terletak di Setiu.

"Sambutan yang kami dapat amat menggalakkan apabila setiap hari lebih satu tan berjaya dijual kepada pengunjung-pengunjung di Ekspo Terengganu 2018," katanya kepada Teganukita.

Noriah Daud

Tambahnya, beliau hanya meletakkan sasaran sebanyak lima tan sahaja yang akan terjual sepanjang ekspo itu, namun disebabkan sambutan sangat menggalakkan tersebut, beliau terpaksa melakukan banyak penghantaran ke tapak ekspo.

"Saya amat gembira apabila mampu menjual sehingga hampir 10 tan nenas MD2 sepanjang ekspo ini berlangsung.

"Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah memberi peluang untuk menyertai Ekspo Terengganu 2018 dan dengan sambutan yang menggalakkan ini, saya akan melibatkan diri dalam ekspo-ekspo sebegini," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: