Friday, 16 February 2018

Terengganu Hantar Permohonan Balik Pengiktirafan Kampung Cina Kepada UNESCO

SHARE
Ahmad Razif dan isteri, Halina bersama pemimpin setempat lain menjamu selera pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Bandar. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.

Terengganu bakal melakukan permohonan kembali untuk mengiktiraf kepelbagaian warisan masyarakat Cina Peranakan di Kampung Cina, Kuala Terengganu kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, keunikan peranakan yang melalui asimilasi budaya tempatan itu memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh badan dunia tersebut untuk dipertimbangkan.

Katanya, sejarah kehidupan golongan Mek dan Awang tidak boleh dijumpai di mana-mana tempat di dunia apabila seakan menyamai dengan kaum Melayu dan India termasuk dari segi makanan, percakapan dan kebudayaan.

"Sebelum ini kita pernah membuat permohonan kepada UNESCO untuk menjadikan Kampung Cina sebagai tapak pemuliharaan warisan tetapi tidak berjaya kerana kawasan itu telah diubahsuai di samping terdapat beberapa transformasi.

"Oleh itu kita ingin mencuba kaedah baharu dengan mengangkat aspek warisan masyarakatnya terutama generasi terdahulu yang berkebolehan membaca dan menulis jawi di samping mahir bercakap dalam dialek Terengganu tanpa pelat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar bersama isterinya, To' Puan Seri Halina Zakaria.

Turut hadir Speaker DUN, Dato' Mohd Zubir Embong; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azmi Razik Naib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Dato' Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris serta beberapa pemimpin lain.

Terdahulu, ketibaan Ahmad Razif dan Halina disambut oleh Pengerusi MCA negeri, Dato' Toh Chin Yaw dan Pegawai Penyelaras DUN Bandar merangkap Setiausaha MCA Kuala Terengganu, Toh Seng Cheng.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri akan memperkenalkan pelancongan berkonsepkan kenderaan elektrik di empat lokasi tumpuan ramai iaitu di Kampung Cina, Pasar Besar Kedai Payang, Pulau Warisan dan Dataran Syahbandar.

"Berpegang kepada slogan cara lama dimensi baru, pelbagai lagi aktiviti lain akan dirancang bagi merancakkan lagi pelancongan di kawasan itu," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: