Saturday, 20 January 2018

Pengamal Media Konvensional Diingatkan Patuhi Etika

SHARE


Para pengamal media konvensional atau media sosial di negara ini diingatkan sentiasa mematuhi etika kewartawanan dalam menghasilkan bahan berita dan bukannya untuk populariti di atas kesusahan orang lain.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, itu merupakan etika kewartawanan yang perlu dipatuhi oleh pengamal media bukan sahaja untuk menjual bahan berita tetapi harus memastikan berita yang dikeluarkan itu maklumat sahih, tepat dan benar.

"Mereka yang ingin menjadi wartawan biasanya akan mengikuti kursus kewartawanan dan inilah salah satu cabaran untuk mereka yang ingin terlibat dalam bidang kewartawanan secara konvensional atau arus media baru dalam penghasilan berita.

"Kita dapat lihat mereka yang terlibat dalam media konvensional biasanya didedahkan dengan pengalaman, latihan dan sebagainya. Oleh itu, gunakan peluang pembelajaran yang mereka dapat untuk mengeluarkan kenyataan atau berita tepat, benar dan sahih.

"Jika mereka ini boleh dikatakan lebih kurang sama dengan wartawan 'mee segera', kita harap perkara seperti ini dihapuskan kerana apa sahaja yang dinyatakan di dada akhbar secara konvensional atau atas talian...punyai pengaruh dan kesannya kepada pembaca di luar sana," katanya kepada pemberita di Majlis Perlepasan Konvoi Puteri Hulu Terengganu ke Program Pelancaran Sahabat Puteri BN "AZALEA 2018" di Dataran Kuala Berang, malam tadi.

Jailani berharap mana-mana yang berminat untuk menjadi wartawan haruslah melalui proses yang disediakan dan untuk wartawan media secara atas talian juga harus didedahkan dengan latihan mengikut etika kewartawanan.

"Ini yang harus ditekankan kerana sebagai wartawan yang bagus, kita bukan sahaja buat berita untuk mencari keuntungan tetapi juga memberi maklumat kepada mereka yang berada di luar sana yang memang dahagakan maklumat setiap hari tanpa mengira waktu,"ujarnya
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: