![]() |
Tengku Zaihan ketika sidang media mengenai MITA Fair Travel 2017, di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail |
Terengganu bakal menawarkan diskaun sehingga 65 peratus bagi pakej pelancongan dalam Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Travel Fair 2017 yang berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor pada 24 hingga 26 Februari ini.
Timbalan
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri II, Tengku Zaihan Che
Ku Abd Rahman berkata, sebanyak 19 agensi
pelancongan dan hotel termasuk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dari
Terengganu akan menyertai MITA Travel Fair berkenaan.
Katanya, bagi
pengunjung yang mengunjungi pameran pelancongan tersebut, pelbagai diskaun
pakej-pakej pelancongan disediakan di booth pameran Terengganu sepanjang tiga
hari itu.
“Antara promosi
yang disediakan adalah diskaun sebanyak 65 peratus di Duyong Marina & Resort, tawaran harga
bilik Deluxe serendah RM188 dengan diskaun sebanyak 51 peratus di Primula Beach
Hotel serta tawaran harga pakej pelancongan tiga hari, dua malam berharga
RM1,000 dengan diskaun sebanyak 40 peratus di Bubu Long Beach Resort, Pulau
Perhentian.
“Selain
itu, terdapat juga tawaran diskaun sebanyak 46 peratus bagi bilik di TY Hotel
menjadikannya RM79 sahaja untuk satu malam, pakej penginapan RM379 dengan
diskaun sebanyak 44 peratus di Terrapuri Heritage Village dan tawaran harga
pakej pelancongan tiga hari, dua malam RM650 seorang dengan diskaun sebanyak 38
peratus di Summer Bay Lang Tengah Resort,” katanya.
Beliau ditemui
pemberita dalam sidang media sempena Penyertaan Terengganu Dalam MITA Fair
Travel Fair 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir
Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak dan Pengurus
Promosi Sekretariat Beautiful Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Tambah
Tengku Zaihan, Terengganu bakal membawa keistimewaan kepada pengunjung yang
hadir ke booth penggiat pelancongan negeri di MITA Travel Fair tersebut.
“Dekorasi
booth kita akan berkonsepkan seni dan kebudayaan Negeri Terengganu selain
menampilkan lebih banyak gambar 3D.
“Kita mahu menarik lebih ramai pengunjung ke booth yang disediakan di samping menjadi
pemangkin kepada pengunjung sebelum mereka merasai sendiri suasana sebenar di
Terengganu kelak,” katanya.
Dalam pada
itu, Tengku Zaihan berkata, kerajaan negeri mensasarkan jualan pakej
pelancongan sepanjang MITA Travel Fair pada kali ini sebanyak RM200,000.
Katanya,
untuk tahun lalu, jualan pakej pelancongan berjumlah RM131,298 telah berjaya
diperolehi oleh pengusaha-pengusaha pelancongan yang menyertai MITA Travel Fair
2016.
0 komen: