Thursday, 9 August 2018

Rebut Insentif Kelahiran Bayi Terengganu

SHARE
Shafaruddin Mustaffa
Sejumlah RM2.49 juta telah diagihkan kepada 24,018 bayi dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sejak 2015.

Insentif berjumlah RM100 hingga RM500 dalam bentuk penabungan itu merupakan salah satu usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat di peringkat awal usia lagi.

Pengarah YPKT, Shafaruddin Mustaffa berkata, di bawah skim sagu hati kelahiran, seramai 9,848 bayi telah menerima insentif bernilai RM100 setiap seorang sejak diperkenalkan pada tahun 2015.

Jelasnya, syarat kelayakan memohon insentif tersebut ialah ibu atau bapa kepada bayi mestilah rakyat Terengganu atau sudah menetap sekurang-kurangnya 10 tahun di Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat YPKT, semalam.

"Akan tetapi bermula pada tahun 2016, ia diperluaskan dengan kadar insentif sebanyak RM100 setiap kelahiran anak pertama hingga keenam, RM200 bagi anak  ketujuh, RM300 bagi anak kelapan, RM400 bagi anak kesembilan dan RM500 bagi kelahiran seterusnya.

"Namun, pada tahun ini permohonan yang diterima kurang memberangsangkan, jadi kita berharap masyarakat lebih peka dengan membuat permohonan segera.

"Setakat ini, YPKT baru mengagihkan sebanyak RM136,200 kepada 1,317 bayi di Terengganu dan kita harap ibu bapa mendapatkan borang permohonan insentif ini di pejabat daerah YPKT berhampiran secepat mungkin," katanya.

Tambah Shafaruddin, masalah itu berlaku mungkin disebabkan masyarakat tidak peka dengan kemudahan yang ditawarkan itu atau tidak menerima maklumat berkaitan.

"Oleh itu, pihak kami mengambil inisiatif bekerjasama dengan 32 Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri agar maklumat mengenai insentif ini sampai kepada ibu bapa," ujarnya.

Mengikut rekod, pada tahun 2016, YPKT mengagihkan RM666,400 nilai SSPN kepada 6,237 bayi manakala pada tahun lepas, sebanyak RM702,500 diagihkan kepada 6,616 bayi.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: