Thursday, 9 August 2018

Program Sembang Santai Platform Terbaik Bantu Usahawan

SHARE
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Negeri Terengganu, Saharuddin Bin Mohd Kia menerangkan sesuatu kepada para peserta pada Program Sembang Santai Usahawan Bersama Exco peringkat Daerah Kuala Nerus di Stadium tertutup Gong Badak, hari ini. Foto Oleh: Syaiful Mustafa
Para usahawan dan bakal usahawan di Terengganu dipelawa hadir ke siri jelajah program keusahawanan yang akan diadakan di setiap daerah di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Program Sembang Santai Usahawan Bersama Exco yang dianjurkan Majlis Sektretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) itu telah bermula di Besut.

“Kuala Nerus adalah lokasi kedua selepas Besut dan pada 20 Ogos depan siri jelajah ini akan diadakan di Setiu dan daerah-daerah lain selepas itu.

“Misinya adalah untuk menjadi platform untuk kita bertemu dengan usahawan dan bakal usahawan,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Sembang Santai Usahawan Bersama Exco peringkat Daerah Kuala Nerus di Stadium tertutup Gong Badak, hari ini.

Katanya, program tersebut juga adalah untuk memberi penerangan berkenaan peluang-peluang perniagaan dan sumber pembiayaan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada usahawan dan bakal usahawan.

Mohd Nurkhuzaini berkata, beliau turut mengharapkan akan mendapat maklum balas yang holistik daripada para usahawan pada akhir sesi penjelajahan itu.


“Selepas habis sesi jelajah ini kita harapkan akan mendapat satu gambaran apa sebenarnya usahawan Terengganu mahukan.

“Mungkin di Besut lain, Setiu lain kehendak mereka, secara keseluruhan apabila kita buat siri jelajah ini para usahawan dan bakal usahawan akan mendapat maklumat yang lebih jelas,” ujarnya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: