Friday, 10 August 2018

Perogol Dipenjara 20 Tahun, 35 Kali Sebatan

SHARE
Tertuduh dibawa ke perbicaraan.

Angkara nafsu iblis, seorang penganggur dihukum penjara 20 tahun dan 35 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas enam pertuduhan berasingan iaitu rompak, rogol dan liwat seorang pekerja wanita di sebuah kedai menjual pakaian wanita di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu pada 1 Ogos baru-baru ini.

Hakim, Tuan Azman Mustapha menjatuhkan hukuman selepas Mohamad Nurhadi Othman, 25, mengaku bersalah terhadap keenam-enam pertuduhan itu yang dibaca di dua mahkamah sesyen berasingan yang dijalankan serentak bermula tarikh penangkapan tertuduh.

Tertuduh, dari Jalan Hiliran Parit Gali, mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak, tiga pertuduhan meliwat dan satu pertuduhan merogol mangsa yang berusia 22 tahun.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh dikenakan hukuman 20 tahun dan 12 sebatan kerana kesalahan merogol (pertuduhan pertama), diikuti 15 tahun dan lapan sebatan kerana meliwat (pertuduhan kedua), 15 tahun dan lima sebatan kerana meliwat (pertuduhan ketiga) dan 15 tahun dan lima sebatan kerana melakukan seks oral (pertuduhan keempat).

Sebelum itu, Nurhadi turut dihukum penjara 20 tahun dan 12 sebatan atas dua pertuduhan melakukan rompakan terhadap mangsa di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, tertuduh didakwa merompak wang tunai RM2,600 di butik tersebut dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Tertuduh juga didakwa merompak dua utas rantai tangan dan cincin milik mangsa berumur 23 tahun, juga bersenjatakan sebilah pisau.

Sehubungan dengan itu, tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di premis berkenaan di Jalan Bukit Kecil, di sini pukul 9.56 malam hingga 10.55 malam, Rabu lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Nur Zafirah Rosli.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: