Sunday, 12 August 2018

Penyakit HFMD Kemaman Masih Terkawal

SHARE
Dr Mohd Anuar Abd Rahman menyampaikan taklimat kesedaran HFMD.
Kes Penyakit Kaki Tangan dan Mulut (HFMD) di daerah Kemaman meningkat tetapi masih berada dalam keadaan terkawal.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, penularan virus HFMD adalah melalui sentuhan langsung melalui cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD.

“Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki,” katanya.

Menurut Mohd Anuar, kes penyakit HFMD di daerah ini menunjukkan peningkatan tetapi ia masih dalam keadaan terkawal.


“Sehingga minggu ke-32, terdapat sebanyak 31 kes berbanding hanya 24 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 121% dan peningkatan ini adalah normal dengan peningkatan kes yang berlaku diseluruh negara dan di negeri pada masa ini.

“Walaubagaimanapun, daerah Kemaman masih mencatat kes yang terendah berbanding dengan daerah-daerah lain dan kebanyakan kes yang berlaku dalam lingkungan umur satu hingga lapan tahun,” katanya.

Mohd Anuar berkata, bagi memastikan penularan kes HFMD terkawal dan dapat dicegah sepenuhnya, pihak Kesihatan Kemaman mengatur Kempen Pencegahan HFMD secara agresif sepanjang bulan ini.

“Kami mensasarkan kempen pencegahan ini di kesemua insitusi pusat bimbingan dan jagaan kanak-kanak seperti sekolah rendah, tadika dan lain-lain.

“Sehingga kini sebanyak 62.6% iaitu 165 daripada 260 premis dilawat bagi kempen yang melibatkan seramai 604 guru dan pengasuh serta 5,429 kanak-kanak dan jumlah premis yang ada adalah Taska (60), Tabika (116), Tadika (18), PASTI (33) dan PRA Sekolah (43),” katanya.


Dalam kempen tersebut, pihaknya memfokuskan kepada mesej kesedaran HFMD dan langkah pencegahan, saringan kanak-kanak sebelum kemasukan, cara tujuh langkah cuci tangan, panduan disinfeksi dan panduan etika batuk.

Selain itu, program hebahan HFMD juga akan diadakan di semua masjid mukim utama pada setiap Jumaat selama sebulan dengan kerjasama daripada Pejabat Agama Daerah.

Ceramah HFMD juga akan diadakan sebelum bermulanya khutbah Jumaat yang akan disampaikan oleh pegawai-pegawai perubatan dan kesihatan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: