Thursday, 9 August 2018

Pelancongan Patuh Syariah Kekal Keharmonian

SHARE
Ustaz Ariffin Deraman menjawab soalan yang dikemukakan moderator.
Pelancongan islamik yang patuh syariah dapat mengekalkan keharmonian negeri dalam sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ustaz Ariffin Deraman berkata, nilai pelancongan islamik akan berupaya menjadikan Terengganu negeri yang maju perkhidmatannya dan berkat serta sejahtera kehidupannya.

“Sektor pelancongan berpotensi sebagai penyumbang terbesar kepada negara dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh pihak Sinar harian, pada Selasa, 7 Ogos.

Katanya, Negeri Terengganu sebagai hub pelancongan islamik bakal dirangka dengan beberapa penekanan termasuk kepatuhan kepada sistem dan nilai  yang ditetapkan oleh syarak.

“Kita tidak akan buat perubahan yang banyak pada dasar kerajaan. Salah satunya kita akan menggariskan etika berpakaian.

“Mereka (pelancong) yang berpakaian bebas di tempat terbuka menyebabkan ketidakselesaan kepada pengunjung atau pelancong yang lain,” jelasnya.

Ustaz Ariffin Deraman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, sekiranya hasrat ini dilaksanakan, tidak mustahil pelancong yang datang ke Negeri Terengganu akan memperkenalkan konsep pelancongan islamik kepada orang lain apabila pulang ke negeri masing-masing.

Menurutnya, terdapat 200 tempat pelancongan utama dan 30 destinasi pelancongan yang menjadi tarikan orang ramai di negeri Terengganu.

“Kita mempunyai banyak tempat tarikan untuk dilawati termasuk masjid yang melambangkan warisan dan khazanah Islam dengan kehalusan keseniannya dan keunikannya.

Justeru, Terengganu sangat berbesar hati menerima dan mengalu-alukan kedatangan pelancong dari dalam dan luar Negara Malaysia.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: