Monday, 13 August 2018

Kerajaan Pusat Mesti Bantu Penoreh Getah

SHARE
Dr Azman Ibrahim memberi ulasan mengenai isu harga getah yang merudum. Foto - Syaiful Mustafa
Kerajaan Pusat mesti memikirkan langkah yang drastik untuk membantu para pekebun dan penoreh getah berhubung isu harga getah yang merudum jatuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Terengganu tidak ada kuasa terhadap penetapan harga getah.

“Kita telah beberapa kali bersuara tentang perlunya diletakkan satu harga syiling kepada getah.

"Setiap kali kita turun berjumpa dengan masyarakat penoreh, mereka minta tak banyak, hanya sekadar RM4 sahaja.


“Apabila harga RM4 ini boleh direalisasikan sebagai harga syiling, maka sudah tentu mereka (penoreh) tidak lagi memerlukan bantuan ‘one off’ yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu harga getah ketika ditemui oleh pemberita di Pulau Duyong, semalam (13 Ogos).

Katanya, isu harga getah melibatkan agensi di bawah kerajaan pusat terutama agensi seperti Pihak  Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menurut Dr Azman Ibrahim yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, bantuan musim tengkujuh  yang diberikan akan  habis dalam satu tempoh yang singkat.


“Kita mahukan bantuan yang boleh menjamin  kehidupan penoreh getah dan kelestarian sumber getah untuk satu tempoh yang panjang,” ujarnya.

Menurutnya, harga pasaran getah terkini iaitu RM 1.90 menurun pada tahap yang dikira sangat rendah.

“Majoriti masyarakat penoreh sebenarnya mengambil upah menoreh getah yang menjadi milik orang lain.

“Jadi RM1.90 dibahagi dua pula dengan tuan punya kebun bermakna pendapatan sekilogram untuk orang yang bekerja menoreh tidak sampai pun seringgit.

“Ini bukan lagi tahap kemiskinan tapi sudah dikira kefakiran,” jelasnya.

Sebagai sebuah kerajaan negeri, kebajikan masyarakat akan diambil cakna dan masalah rakyat akan disantuni secara dekat melalui wakil rakyat yang ada di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
SHARE

Author: verified_user

0 komen: