Wednesday, 8 August 2018

Kerajaan Optimakan 12,000 Hektar Tanah Terbiar Untuk Rakyat

SHARE
Dr Azman Ibrahim berdialog dengan para peserta.

 Oleh: Ahmad Syahid

Seluas 12,000 hektar tanah terbiar akan dibuka permohonannya kepada rakyat untuk diusahakan dengan aktiviti pertanian, bagi meningkatkan sumber pendapatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan memberi penjelasan dari masa ke masa tentang dasar kerajaan dalam sektor terbabit dan peluang yang disediakan untuk rakyat.

"Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang komited untuk menjayakan program turun padang bertemu rakyat.

"Sesi bertemu mata dan memberi taklimat ini diharap berjaya merungkai banyak persoalan golongan nelayan petani dan penternak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Lawatan Kerja Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, di Dewan Sivik, Kerteh, semalam Selasa 7 Ogos.

Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, inisiatif kerajaan negeri ini boleh membantu mengurangkan kadar pengangguran terutamanya golongan muda yang mahu mengambil peluang menceburi bidang pertanian.


Turut hadir ialah ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, Ahli Majlis Daerah Kemaman, Amri Mamat, Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Pengarah Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmud, Pengarah Lembaga Industri Nenas Malaysia negeri Terengganu, Imraan Fahmi Tajul Arifin, Pegawai Lembaga Industri Nenas Malaysia negeri Terengganu, Pegawai Pertanian Daerah Kemaman dan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Kemaman.


Sehubungan itu, Ir Saiful Azmi Suhaili yang jugaTimbalan Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, dalam ucapan aluannya menggesa rakyat mengambil pelbagai peluang keemasan yang disediakan Kerajaan Terengganu.

"Rebutlah peluang yang disediakan dan realisasikanlah slogan 'Pertanian Adalah Perniagaan'," jelas beliau yang turut berucap dalam majlis tersebut.


Rombongan lawatan itu turut meninjau Kompleks Mini LKIM Kerteh di Kuala Kerteh, ladang ternakan ayam pedaging di Kampung Pengkalan Ranggon dan peninggalan projek terbengkalai Lembah Kaprima di Kampung Chabang.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: