Monday, 13 August 2018

Kerajaan Galakkan Orang Ramai Berbakti Pada Tanah

SHARE
Cikgu Wan Hapandi Wan Nik mendengar taklimat daripada usahawan tani tempatan.
Oleh: Asraf Ikhwan

Kerajaan Terengganu dapat berbangga pada tahun ini kerana dapat memasarkan pelbagai buah-buahan tempatan ke seluruh negara dengan jumlah yang banyak.

Timbalan Pengerusi Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik berkata, kemeriahan pesta buah buahan tempatan di Negeri Terengganu masih dirasai hingga ke hari ini.

"Raja buah iaitu durian pula mencatatkan peningkatan pengeluaran hasil di Negeri Terengganu pada tahun ini berbanding tahun tahun sebelumnya.

"Kita merasa sangat gembira dengan pengeluaran hasil buah-buahan tempatan sekaligus dapat dipasarkan ke seluruh negara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita di tapak Pesta Buah anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Arena Merdeka, semalam.

Menurut Cikgu Wan Hapandi Wan Nik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura turut menggalakkan masyarakat agar dapat mengusahakan tanaman buah-buahan tempatan.


"Kita amat menggalakkan orang ramai khususnya rakyat Terengganu yang mempunyai tanah terbiar untuk mengusahakan tanaman buah-buahan tempatan.

"Bila tiba musim buah, mereka dapat menjual hasil tersebut bahkan dapat menambah pendapatan," ujarnya.

Tambahnya, mereka yang berbudi pada tanah pasti dapat merasai keuntungan yang sesuai.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, Terengganu berjaya mengeluarkan kira-kira 1,000 metrik tan durian untuk tahun ini.

"Ini adalah satu permulaan yang positif bagi usahawan tani durian di Terengganu untuk terus memasarkan buah ini pada tahun-tahun akan datang.

"Selepas ini musim duku pula dan dijangka duku akan turut memberi pulangan lumayan.

"Pihak FAMA sudah bersiap sedia untuk memasarkan buah kebanggaan negeri itu ke seluruh negara," tambahnya.

Terengganu ialah antara negeri yang kaya dengan pelbagai buah-buahan tempatan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: