Monday, 13 August 2018

Hak Asasi Manusia Mesti Selari Dengan Syariat Islam

SHARE
Mohd Norkhuzaini menyampaikan ucapan dalam forum tersebut.

Oleh: Siti Ainum Amijudin

Hak asasi manusia perlu berperanan selari dengan syariat Islam yang digariskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ianya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Terengganu yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Kita beri peluang untuk rakyat menyuarakan pendapat mengenai isu-isu yang berkaitan perniagaan dan hak asasi manusia khususnya isu-isu setempat," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum "Mempromosi dan Mengaplikasikan Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan" di Duyung Marina Resort, semalam.

Mohd Norkhuzaini Ab Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, antara objektif utama forum ini adalah untuk memperkenalkan Prinsip Panduan PBB mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan (UN Guiding Principles on Business and Human Rights).


"Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman terhadap UNGP dan bagaimana ianya boleh diaplikasikan.

"Selain itu untuk mengenal pasti dan mempromosi amalan baik dalam pelaksanaan UNGP," ujarnya.

Matlamat forum juga adalah untuk menyediakan peluang kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan pertubuhan masyarakat.

Beliau berharap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dapat terus meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri pada masa akan datang untuk memberi kesedaran berkaitan hak asasi kepada rakyat.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: