Thursday, 9 August 2018

Bincang Dahulu Dengan Rakyat

SHARE
Haji Hishamuddin (berdiri) memperkatakan sesuatu kepada nelayan di Majlis Sesi Taklimat Bersama Penduduk dan Nelayan Bagi Projek Pencegahan Hakisan Pantai di Mengabang Telipot baru-baru ini.

Mana-mana jabatan kerajaan perlu berbincang terlebih dahulu dengan komuniti kampung sebelum melaksanakan sesuatu projek supaya permasalahan setempat dapat dikenalpasti.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Haji Hishamuddin Abdul Karim berkata, kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan banyak masalah dan mengundang bantahan daripada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh pihak media berhubung Projek Pencegahan Hakisan  Pantai Mengabang Telipot di sini yang mendapat bantahan penduduk kerana tidak sesuai dengan keadaan setempat.

Haji Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, projek berkenaan sedikit sebanyak mengundang hakisan pantai.

"Hakisan akan berlaku di tempat lain, akibat biasan daripada projek terbabit," katanya.

Terdahulu, beliau menemui penduduk di Majlis Sesi Taklimat Bersama Penduduk dan Nelayan kampung terbabit pada 30 Julai lalu.

Haji Hishamuddin melawat kawasan pendaratan bot di Mengabang Telipot, berhampiran dengan kawasan projek tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, projek  itu bertujuan supaya hakisan pantai tidak berlaku akibat pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang berhampiran dengan pantai kampung berkenaan.

Beliau mengharapkan jabatan berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan itu memandangkan musim tengkujuh semakin hampir.

Beliau telah membawa permasalahan itu ke Sidang Dewan Rakyat dan ianya di bawah perhatian kementerian terbabit.

Projek itu dimulakan pada 8 April tahun 2014 oleh Kontraktor Syarikat Pending Makmur Sdn Bhd dengan kos RM80 juta dan dijangka siap 29 Disember 2018.

Projek Pencegahan Hakisan Pantai di Mengabang Telipot dalam proses penyiapan.
Projek berkenaan mempunyai dua fasa. Fasa pertama sudah hampir siap manakala fasa kedua dalam proses pembinaan.

Komuniti Nelayan Mengabang Telipot menyarankan agar Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Negeri membuat pengubahsuaian agar bermanfaat kepada nelayan tempatan.

JPS sedang mengkaji projek itu selepas aduan komuniti nelayan itu dibuat.

Timbalan Pengarah JPS, Encik Osman Abdullah ketika dihubungi berkata, JPS telah menemui komuniti nelayan berkenaan dan meneliti semua pandangan mereka.

Menurutnya, pihak jabatan sedang mengkaji projek tersebut dan berusaha mendapatkan pelan pengubahsuaian baharu dari kontraktor untuk dilaksanakan di tapak projek.
Antara bot-bot nelayan Mengabang Telipot yang diletakkan berhampiran kawasan projek berkenaan

"Pihak JPS Malaysia melalui bahagian pengurusan zon pantai telah mengambil kira keluhan, saranan dan pandangan penduduk serta sedang mengkaji semula reka bentuk projek tersebut," jelasnya.

Tambahnya, selepas mendapat reka bentuk baharu daripada kontraktor, JPS akan melaksanakannya di tapak projek berkenaan.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: