Saturday, 4 August 2018

Bendahari MPKK Bakal Dibayar Elaun RM300 Sebulan

SHARE
Dr.  Azman 
Lebih 1,000 bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang baharu dilantik akan menikmat bayaran elaun RM300 sebulan berbanding RM650 setahun sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, keputusan dibuat oleh kerajaan negeri bagi memantapkan lagi pengurusan dan perjalanan MPKK selepas menimbangkan pelbagai perkara.

Katanya, elaun bagi Pengerusi dan Setiausaha pula masih lagi seperti biasa dengan sebahagian disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan sebahagiannya dari kerajaan negeri.

"Bagi elaun Pengerusi MPKK, ia akan dibayar sebanyak RM900 sebulan melalui peruntukan Pusat RM500 dan tambahan RM400 dari kerajaan negeri.

"Ini juga melibatkan pembayaran yang sama kepada Setiausaha iaitu RM300 dari Pusat dan sebanyak RM200 dari kerajaan negeri.

"Yang berbeza pada kali ini cuma elaun bendahari, kalau dahulu cuma dapat RM650 setahun tetapi kerajaan negeri membuat sedikit perubahan dengan membayar elaun RM300 sebulan menggunakan peruntukan negeri,"ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Kem Jati Diri J3K Daerah Dungun, di Akademi Bomba, Wakad Tapai, Marang, hari ini.

Azman berkata, elaun untuk mengadakan mesyuarat dan pengurusan pentadbiran dikekalkan seperti biasa oleh Kerajaan Pusat kepada MPKK.

"Ini termasuklah bantuan geran fizikal dan bukan fizikal kepada setiap MPKK dengan jumlah tidak lebih RM10,000 setahun.

"Namun tuntutan ini perlu melalui beberapa prosedur yang akan diperincikan oleh Pejabat Daerah masing-masing kepada MPKK nanti," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: