Thursday, 9 August 2018

94 Wakil Kampung Terima 'Wakkalah' Dari Sultan Mizan

SHARE
Seorang juru sembelih menghadap Sultan Mizan untuk menerima ‘wakkalah’ di Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu. Foto - Tengku Syamim
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah mencemar duli dan berkenan melantik seramai 94 orang juru sembelih di Majlis ‘Wakkalah’ Juru Sembelih Korban Sempena Hari Raya Haji 1439 Hijrah di Istana Syarqiyyah, semalam, pada 8 Ogos.

Sultan Mizan Zainal Abidin  telah bertitah mewakilkan juru-juru sembelih itu melaksanakan ibadah sunat korban di samping baginda berniat melaksanakan ibadat tersebut bagi pihak seluruh umat Islam Negeri Terengganu.

Juru-juru  sembelih berkenaan menghadap Sultan Mizan sebagai mewakili 90 buah kampung terpilih dari seluruh negeri untuk menyembelih 100 ekor lembu dengan peruntukan Baitul Mal, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM680 ribu.

Manakala 10 ekor lembu lagi diserahkan kepada Darul Hidayah Jalan Kamarudin sebanyak empat ekor dan masing-masing seekor untuk Penjara Marang, Saudara Baharu Besut, Saudara Baharu Marang, Saudara Baharu Hulu Terengganu, Orang Pekak Kuala Terengganu dan Perkampungan Orang Asli Sungai Berua Hulu Terengganu.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Osman Muda, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Haji Mohd Rozi Bidin dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.

Sementara itu, Haji Mohd Rozi berkata, MAIDAM mengadakan majlis ‘wakkalah’ seumpama itu setiap tahun menjelang musim haji, sejak tahun 1997 hingga tahun ini.

Menurut beliau, kos pembelian lembu adalah sebanyak RM590 ribu manakala selebihnya ialah kos upah juru sembelih sebanyak RM100 seorang. Manakala tukang urus lembu sembelihan dibayar sebanyak RM200 seekor.

"Seramai 10 individu dilantik untuk menyediakan lembu korban dari lapan daerah seluruh Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berkenaan selesai.

"Tahun lalu peruntukan Baitul Mal dikeluarkan sebanyak RM576 ribu dengan jumlah lembu korban sebanyak 91 ekor dan juru sembelih seramai kira-kira 85 orang.

"Kampung yang menerima ‘wakkalah’ itu bertukar setiap tahun, tidak dikhususkan hanya untuk kampung tertentu sahaja," ujarnya.

SHARE

Author: verified_user


0 komen: