Monday, 2 July 2018

Titah Ucapan Sultan Terengganu Sempena Istiadat Pembukaan Persidangan DUN

SHARE
Sultan Terengganu ketika bertitah pada Persidangan DUN. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berhormat
Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,
Yang Berhormat
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu



            Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah dan rahmat-Nya dapat Beta dan Sultanah hadir untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Keempat Belas Tahun 2018 pada pagi yang bersejarah ini.

            Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Solallahu ’Alaihi Wasallam dan sekalian ahli keluarga, para sahabat serta seluruh umat Baginda.

            Alhamdulillah, Beta bersyukur kerana pilihanraya ke-14 telah berlangsung dengan aman dan selamat. Rakyat negeri ini telah melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan dalam memilih kerajaan untuk mentadbir Negeri Terengganu bagi penggal ke-14 ini.

            Sehubungan dengan itu, adalah menjadi hasrat Beta agar kerajaan ini dapat merangka, merancang dan melaksanakan program-program meningkatkan tahap sosio-ekonomi dan kemakmuran negeri. Kerajaan baru juga diharap dapat meneruskan kesinambungan pentadbiran kerajaan terdahulu dengan penambahbaikan bagi memastikan matlamat untuk menzahirkan negeri maju dan berpendapatan tinggi dicapai selaras dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

            Beta dimaklumkan kadar KDNK Negeri Terengganu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus  pada tahun 2017 berbanding 3.1 peratus pada tahun 2016. Peningkatan KDNK tersebut disokong oleh pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian.

            Peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi sektor perkhidmatan disumbangkan melalui peningkatan aktiviti perdagangan, borong dan peruncitan  serta komunikasi dan perhotelan. 



           Peningkatan sektor pembinaan pula disumbangkan oleh pertambahan pelaburan swasta  dalam aktiviti projek perumahan dan perniagaan disamping perbelanjaan kerajaan dalam pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan 2 lorong dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Manakala peningkatan dalam sektor pertanian pula disumbangkan melalui aktiviti komiditi utama dalam perdagangan getah dan kelapa sawit.
          
          Beta berharap, dengan iltizam untuk terus maju dan perancangan pembangunan yang lebih jitu. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan utama dalam menarik pelaburan di sektor pembuatan dan perkilangan melalui pelaburan tempatan dan pelaburan langsung asing (FDI). Dengan ini adalah diharapkan senario ekonomi   negeri akan terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi tahun-tahun hadapan.

         Beta berharap pentadbiran Kerajaan Negeri dapat memastikan pengurusan kewangan diuruskan secara berhemat dan perbelanjaan Negeri dipantau dengan teliti. 

         Tumpuan hendaklah dijuruskan kepada program dan projek yang dapat mengatasi masalah rakyat dalam suasana ekonomi yang mencabar pada hari ini. Adalah besar harapan Beta agar anggaran hasil pada tahun 2018 sebanyak RM 1.815 billion dapat dicapai dan mampu urus dengan baik melalui perancangan belanjawan yang memberi impak positif kepada negeri dan rakyat.



            Keutamaan haruslah diberikan bagi merangka dan merancang program-program bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan seterusnya menyumbang kea rah kesejahteraan hidup rakyat Beta. Projek dan program yang memberi impak secara langsung kepada rakyat mestilah diteruskan dan ditambah baik  setelah mengambil kira kemampuan kewangan negeri.

            Pada pandangan Beta, Kerajaan Negeri juga perlu memberi tumpuan dalam usaha merangka dan merancang program-program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan meningkatkan hasil pendapatan negeri, mengatasi  masalah peningkatan kos sara hidup, menambah peluang-peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran dan membina lebih banyak rumah kediaman terutama kepada golongan B40.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

            Beta dimaklumkan Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Hasil Negeri bagi merancang langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan hasil negeri.  Selain itu, ianya juga bagi mencari kaedah untuk mengurangkan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada royalti minyak dan gas semata-mata kerana disebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia yang bermula pada tahun 2016, jumlah pendapatan hasil negeri telah berkurang sehingga sekitar 40 peratus setiap tahun.

            Oleh yang demikian, Beta berharap jawatankuasa tersebut membuat kajian dan mengambil langkah-langkah agresif dan inovatif dalam menambah dan meningkatkan kutipan hasil negeri seperti kajian kadar free urusniaga tanah, cukai galian dan batuan, caj air mentah dan caj khusus bagi penginapan di hotel.  Jawatankuasa juga boleh mengkaji mekanisma yang telah digunapakai di negeri-negeri lain untuk dilaksanakan di negeri ini mengikut kesesuaian ke arah meningkatkan hasil negeri di samping melaksanakan dasar berbelanja secara berhemat.

            Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga boleh mengeksploitasi keindahan semulajadi , pantai dan pulau seperti Setiu Wetland, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Tasik Kenyir bagi menarik pelancong asing dan tempatan bagi menggiatkan ekonomi setempat.

            Penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) pada Mei 2017 bertujuan untuk memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Semenanjung Malaysia dapat dilindungi hak dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.

            Beta berharap dengan penubuhan TPC, Kerajaan Negeri Terengganu dapat menggunakannya sebagai platform dalam menangani urusan yang berkaitan royalti dan tuntutan hak Telaga Minyak Bertam, menambah peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Beta dalam industri minyak dan gas.

            Adalah menjadi harapan Beta agar Kerajaan Negeri dapat merangka lebih banyak program dan aktiviti bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat disamping mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Beta percaya hubungan yang rapat di antara keduanya dapat mengukuhkan hubungan dua hala, seterusnya memberi banyak manfaat kepada Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan Terengganu.

            Beta difahamkan Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat miskin dan merancang untuk memperkenalkan Kad Sejahtera yang bernilai RM500 setahun bertujuan untuk memberi kemudahan rawatan di klinik-klinik swasta terpilih. 



Kerajaan juga telah menghidupkan semula perkhidmatan bas henti-henti menerusi perkhidmatan MyBas disamping beberapa inisiatif lain yang dirancang yang bertujuan bagi meringankan bebanan dalam menangani peningkatan kos sara hidup kepada rakyat terutama kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Alhamdulillah, mudah-mudahan nasib golongan ini terbela dan kita semua diberkati Allah Subhanahu Wata’ala.


            Beta amat bersyukur kerana MAIDAM juga memainkan peranan penting dalam menguruskan tanah-tanah wakaf dan agihan zakat bagi membantu rakyat miskin dalam menangani kos peningkatan sara hidup. Manfaat wakaf dan zakat ini kemudiannya dapat diagihkan kepada golongan asnaf melalui bantuan sara hidup, bantuan bulanan, bantuan bina/ baiki rumah, bantuan perubatan dan lain-lain.

            Justeru itu, Beta menyeru agar supaya semua pihak sama ada individu mahupun agensi termausk anak syarikat Kerajaan Negeri supaya dapat sama-sama menunaikan tanggungjawab kewajipan berzakat. Ini bagi memastikan asnaf di dalam Negeri Beta mendapat hak dan dijaga kemaslahatan melalui bantuan zakat.

            Kerajaan Negeri perlulah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat asing dan domestik dalam pelaburan yang berintensifkan modal dan berteknologi tinggi seperti bidang bioteknologi, petrokimia, perindustrian besi keluli serta silika dan pertanian bagi mewujuskan lebih banyak peluang pekrjaan kepada rakyat Beta.

            Untuk itu, Beta berharap Kerajaan Negeri dapat mewujudkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi di pelbagai sektor dengan memperkasa dan memperbanyakkan program latihan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa melalui institusi pendidkian dan latihan di bawah Kerajaan Negeri seperti Terengganu Advanced Technical Institute (TATI), Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC), Terengganu Skills Development Centre (TESDEC), dan Terengganu Safety Training Centre (TSTC).

            Disamping itu, Kerajaan Negeri juga perlu meningkatkan inisiatif kepada golongan belia untuk menceburi sektor pertanian seperti mengusahakan tanam Melon Manis Terengganu dan “Terengganu Golden Corn (TGC)” serta melibatkan diri dalam industry pengusahaan lebah madu secara komersial. Beta juga menyeru kepada rakyat Beta agar menceburi dan meneroka produk-produk pertanian baharu yang mempunyai potensi pada masa hadapan. Adalah amat baik Kerajaan mempelbagaikan usaha untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sektor yang diminati oleh golongan belia.

            Selain daripada itu, Beta melihat bahawa dunia keusahawanan moden mendapat permintaan yang semakin meningkat. Sejajar dengan Revolusi Industri 4.0, Beta menyeru kepada rakyat Beta agar meneroka bidang-bidang perniagaan baharu yang berpotensi untuk menjana pendapatan yang lumayan seperti jualan dan perkhidmatan online yang menjadi gaya hidup masa kini. Car boot sale dan food truck juga dilihat semakin popular dikalangan masyarakat.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

            Beta juga berharap Kerajaan Negeri memberi penekanan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menyediakan lebih banyak projek-projek perumahan bagi memastikan setiap rakyat memiliki rumah sendiri.

            Beta merasa amat gembira kerana pelbagai usaha murni telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah melalui Program Perumahan Terengganuku Sayang (PPTS).



 Beta dimaklumkan pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM32 juta untuk membina atau membaikpulih rumah melalui program tersebut. Beta berasa amat sukacita kerana Kerajaan Negeri merancang untuk memperuntukkan sebanyak RM50 juta melalui Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah membuat pinjaman perumahan.


            Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Projek Menaiktaraf Loji Air Rawatan Bukit Sah, Kemaman yang berkapasiti 225 juta liter sehari dan Projek Membina Loji Bekalan Air Kuala Terengganu Utara dengan kapasiti 120 juta liter sehari. Kedua-dua loji ini bertujuan untuk menampung keperluan bekalan air bagi kegunaan industri dan domestik di Daerah Kemaman dan Daerah Kuala Nerus.

            Projek ini akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Negeri Terengganu terutamanya dalam membekalkan air terawatt yang mencukupi serta meningkatkan tekanan air di beberapa kawasan yang terjejas sebelum ini. Dengan terlaksananya dua buah projek utama ini, permintaan bekalan air bersih di Negeri Terengganu akan terjamin sekurang-kurangnya sehingga ke tahun 2050.

            Di dalam apa jua keadaan, kesejahteraan rakyat adalah keutamaan. Justeru itu, Beta berharap Program Bandar Selamat termasuklah aktiviti meningkatkan keceriaan dan keindahan bandar-bandar diperluaskan ke seluruh kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. 

            Tiada yang lebih penting bagi sesebuah negeri melainkan diberitakan tentang kehidupan rakyat yang selesa dan sejahtera. Beta turut berbangga dengan pencapaian Pihak Berkuasa Tempatan di peringkat negeri dan nasional. Ini menunjukkan bahawa pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil bagi menyediakan kemudahan asas kepada rakyat.


            Beta juga berasa amat sukacita atas usaha Kerajaan Negeri yang tidak pernah jemu dalam memastikan syiar Islam sentiasa bersinar di bumi Darul Iman ini. Beta difahamkan pada tahun ini sebanyak 16 buah masjid baharu sedang dalam pembinaan manakala kos penyelenggaraan bagi masjid-masjid sedia ada turut diperuntukkan.

            Sebagai pusat pengembangan ilmu, Beta penuh yakin bahawa masjid mampu diperkasakan lagi fungsinya dengan lebih berkesan. Pengajian kelas-kelas bersiri melalui program Dai’e Muslim, Takmir, serta penceramah-penceramah jemputan adalah salah satu medium untuk melahirkan masyarakat Islam berilmu dalam melaksanakan amalan seharian mereka.

            Beta turut berbangga apabila system pengajaran dan pembelajaran, penyampaian khutbah serta hebah-hebahan menggunakan sepenuhnya teknologi dan multimedia yang dibekalkan kepada masjid. Dengan cara itu, ilmu dan maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat dan tepat selari dengan peredaran dunia tanpa sempadan.

            Satu lagi platform ilmu yang melonjjakkan fungsi masjid adalah pengwujudan kelas-kelas Sijil Pengajian Islam Terengganu dalam bidang-bidang pengajian Tauhid, Feqah, Tasawuf dan yang berkaitan dengannya secara sistematik dan strategik m,engikut tempoh-tempoh pengajian yang telah ditetapkan.

            Inisiatif perlu sentiasa dikekalkan di Negeri Terengganu bagi memastikan masjid dan surau sebagai tempat yang paling relevan dalam penyatuan ummah. Semoga usaha-usaha yang dijalankan ini akan diberkati Allahu Subhanahu Wata’ala dan seterusnya mengekalkan Terengganu Darul Iman sehingga sebuah Negeri yang maju berteraskan Islam.

            Beta juga difahamkan Kerajaan Negeri telah menubuhkan Madrasah Moden bagi menampung ketidakmampuan sekolah-sekolah agama arus perdana dalam menyediakan peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang keagamaan.



          Beta dimaklumkan, pelajar-pelajar yang sedang menuntut ini telah pun mendapat kepercayaan masyarakat setempat untuk mengetuai majlis-majlis keagamaan seperti tahlil, marhabn, khatam Al-Quran, berzanji aqiqah dan lain-lain. Beta menaruh harapan yang tinggi kepada lepasan madrasah moden ini nanti agar menjadi golongan muda dan pelapis yang dapat memberi manfaat secara lebih berkesan kepada institusi masjid atau surau disamping menjadi tempat rujukan masyarakat setempat.


            Beta berbangga dengan usaha Kerajaan Negeri dalam meneruskan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan di Terengganu. Legasi kecemerlangan ini diteruskan melalui pencapaian cemerlang UPSR 2017 yang telah mencatatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan. Jumalh murid yang mendapat 6A ialah 560 orang berbanding tahun 2016 seramai 271 orang. Terengganu sekali lagi mencipta sejarahnya tersendiri melalui Keputusan SPM 2017 dengan Gred Purata Negeri 4.90.

            Beta juga maklum akan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri melalui pemberian Dana Bantuan Persekolahan, Saguhati Kecemerlangan dan Bantuan Persediaan Melanjutkan Pelajaran setiap tahun bagi meringankan beban para ibu bapa dari golongan berpendapatan rendah.

           Begitu juga langkah membangunkan I-Kelas dan Program Tuisyen Online diharap dapat memberi kemudahan kepada pelajar untuk mengulangkaji pelajaran tanpa had waktu dan tempat. Kerjasama erat daripada pelbagai jabatan, agensi negeri, Institusi Pengajian Tinggi Awam Dan Swasta serta lain-lain amat penting bagi memastikan agenda kecemerlangan tercapai. Semoga lebih banyak lagi program-program sedemikian dapat dirancang agar generasi masa depan menjadi insan cemerlang duniawi dan ukhrawi.

            Mereka telah dinobatkan sebagai Juara Program Pembangunan Sumber manusia untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di Gyeongju, Korea Selatan pada 29 Mei 2018 yang lalu. Lebih membanggakan apabila pasukan ini telah Berjaya menewaskan 520 murid mewakili 188 pasukan dari 30 negara termasuk Negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan. Tahniah dan syabas Beta ucapkan kepada para pelajar dan guru-guru yang terlibat.

            Beta menyeru kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi dan badan berkanun dipereratkan lagi, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara. Beta berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat tanpa mengira fahaman politik akan bekerjasama dan bersatu hati dalam memajukan Negeri yang tercinta ke arah Terengganu Maju dalam segala bidang serta diberi keberkatan agar rakyat hidup sejahtera.

          Beta juga menyeru agar semua anggota perkghidmatan awam agar senantiasa berpegang teguh dengan Piagam Perkhidmatan Awam dan melakasanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, berintegriti, neutral dan bersikap professional dalam segala tindakan.

            Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar sentiasa memberi rahmat dan hidayah-Nya kepada rakyat dan Kerajaan Beta di bawah pimpinan Memanda Menteri Besar, Doktor Ahmad Samuri bin Mokhtar.

            Beta juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan yang telah memberi perkhidmatan  cemerlang  dalam menegakkan Amar Ma’aruf Nahi Munkar, bagi menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Beta.
           
           Semoga semua usaha murni ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala. Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Keempat Belas Tahun 2018.

Selamat Bersidang,
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: